Penduduk Permatang Pasir terima manfaat naik taraf gerai makanan di pasar awam – YDP MPSP

Admin

PERMATANG PASIR – Kerja-kerja menaik taraf gerai makanan di Pasar Awam Sri Penanti, dekat sini yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) siap sepenuhnya dan mula dibuka kepada orang ramai.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, projek menaik taraf tersebut mula dilaksanakan pada 15 November tahun lepas dan siap sepenuhnya pada 13 Julai lalu.

“Projek ini melibatkan kesuluruhan kos perbelanjaan sebanyak RM385,500 bagi menyediakan 13 unit gerai makanan.

“Pada peringkat awal projek ini juga mengambil kira pandangan dan input daripada para peniaga sebelum dibangunkan bagi memastikan kerja menaik taraf mampu memanfaatkan peniaga khususnya dan orang awam di Permatang Pasir dan kawasan sekitar secara amnya,” ujarnya ketika ditemui pada perasmian pasar berkaitan, semalam.

Perasmian disempurnakan oleh Exco Perumahan, Kerajaan tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP dan komuniti setempat.

Difahamkan, fasiliti utama yang ditambah baik adalah melibatkan pengubahsuaian gerai makanan kepada gerai tertutup berukuran 10′ x 12′ dengan kemasan jubin seragam selain dilengkapi dengan kipas angin individu bagi setiap unit gerai dan ruang makan serta kemudahan perangkap nyamuk.

Selain itu, petak parkir Orang Kurang Upaya (OKU) dan laluan untuk OKU juga turut dibina.

Sementara itu, Jagdeep dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri mahu memastikan kemudahan awam seperti kompleks makanan dan pasar awam di negeri ini mencapai taraf ‘A’ atau ‘B’.

“Semua peniaga pasar awam dan kompleks makanan harus memastikan bahawa mereka mendapat sijil ‘A’ atau ‘B’ dalam aspek kebersihan.

“Tindakan pembatalan lesen perniagaan akan dikenakan terhadap peniaga-peniaga yang gagal mematuhi arahan ini,” tegasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MPSP