Penduduk sambut baik cadangan penyediaan sambungan internet, CCTV bagi semua projek perumahan di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Cadangan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo untuk mewajibkan penyediaan sambungan internet dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi semua projek perumahan yang bakal dibina di negeri ini disambut baik masyarakat.

Rata-rata, penduduk yang ditemui menyifatkan pemasangan internet dan CCTV di skim-skim perumahan sebagai langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memenuhi keperluan asas rakyat terutamanya dalam aspek keselamatan.

C. Saravanan.

Antaranya, C. SARAVANAN, 41, yang merupakan pembantu am di pejabat kerajaan berpendapat bahawa pemasangan CCTV merupakan suatu keperluan bagi menjamin keselamatan memandangkan kes jenayah di seluruh negara kini semakin membimbangkan.

“Bagi pemasangan internet pula, kita tidak pasti sama ada pemaju bersedia atau tidak (menanggung kos) kerana kos untuk menyediakan jaringan fiber optik agak tinggi.

“Satu kerisauan kita adalah sekiranya pihak pemaju bersetuju terhadap cadangan ini, maka harga rumah akan meningkat sekaligus membebankan pembeli.

“Jadi, pelaksanaannya perlu diteliti supaya hasrat Kerajaan Negeri untuk menyediakan kemudahan-kemudahan ini tidak bertukar menjadi beban kepada rakyat,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF yang membuat tinjauan lapangan di sekitar George Town, hari ini.

Bagi HIDAYAH HAMID ARABY, 40-an, seorang peniaga, menyambut baik sepenuhnya cadangan tersebut kerana berpendapat internet akan membantu masyarakat terutama golongan suri rumah untuk menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian selain memudahkan urusan harian.

“Sudah semestinya saya bersetuju dengan cadangan ini kerana apabila adanya CCTV kita boleh memantau kes-kes jenayah seperti rompakan, kecurian, penculikan dan sebagainya.

“Pemasangan internet juga bagus sebab dengan adanya wifi percuma dapat membantu suri rumah sepenuh masa untuk menambah sumber pendapatan mereka.

“Internet juga memudahkan urusan harian sama ada untuk membeli-belah, membayar bil, berkomunikasi dan sebagainya,” responnya.

Sementara itu, MASTURA MOHD. ALI, seorang penjawat awam menyatakan bahawa cadangan tersebut adalah sesuatu yang baik namun beliau bimbang sekiranya penyediaan kemudahan-kemudahan tersebut akan meningkatkan lagi harga rumah.

Mastura Mohd. Ali

“CCTV memang perlu untuk keselamatan tetapi untuk internet kalau ada kemampuan kita boleh pasang sendiri.

“Kalau dilihat sekarang harga rumah sudah semakin meningkat walaupun tanpa kemudahan-kemudahan dan kita risau harga rumah akan meningkat disebabkan perkara ini.

“Sebab, keutamaan kita dalam keadaan ekonomi sekarang adalah untuk memilih rumah dengan harga rumah mampu milik berbanding faktor-faktor lain,” ujarnya.

Seorang lagi penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Aidi pula berkata, cadangan tersebut adalah baik namun memerlukan penelitian yang mendalam supaya pelaksanaannya kelak tidak membebankan pembeli.

“Persoalan di sini adalah pihak manakah yang akan menampung kos penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan-kemudahan ini. Adakah pihak pemaju, Kerajaan Negeri atau pembeli?” soalnya.

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS