Penerima APC: Pelbagai pengalaman ditimba, terharu dihargai

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

 

BAYAN BARU – Meskipun pernah diherdik dan hampir dicederakan, namun ia tidak mematahkan semangat A. ALEX, 57, untuk terus berkhidmat dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sehingga disenaraikan sebagai salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2017 di sini baru-baru ini.

Alex yang berkhidmat sebagai pemandu kenderaan di Jabatan Penguatkuasaan MBPP ketika ditemui berkata, sepanjang perkhidmatan beliau hampir 30 tahun, pelbagai pengalaman ditimbanya.

“Banyak kenangan dapat masa bekerja.

“Ada yang manis, ada masa mencabar. Yang paling mencabar apabila buat (aktiviti) penguatkuasaan ke atas kenderaan yang melanggar peraturan.

“Ada yang faham ada yang tidak. Saya sendiri pernah dimarah dan diserang oleh pemilik kenderaan ketika menunda kereta mereka,” kongsinya kepada wakil

Buletin Mutiara sejurus selepas Majlis Penghargaan Pesara dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBPP Tahun 2017 di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan, Mohamed Akbar Mustapha, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Pada majlis sama, seramai 110 pesara, pegawai (233) dan kakitangan MBPP turut menerima penghargaan ekoran prestasi kerja yang cemerlang tahun lalu.

Bagi pekerja awam, S. SUKUMARAN, 34, beliau memberitahu, insiden tanah runtuh di Green Garden, Paya Terubong beberapa tahun lalu merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakannya sepanjang berada di dalam perkhidmatan selama tujuh tahun.

“Semasa kejadian tanah runtuh tersebut, kami (pekerja MBPP) bekerja keras selama 24 jam untuk membersihkan kawasan tersebut.

“Walaupun ia telah berlalu, tapi kini berbaloi dan saya gembira kerana MBPP menghargai pekerja am seperti kami,” ujarnya sambil menyatakan anugerah tersebut pertama kali diterima beliau.

Manakala, ZIATON ABU BAKAR iaitu salah seorang pesara yang diraikan pada majlis tersebut turut berkongsi kegembiraan sama.

“Syukur, terima kasih MBPP bagi saya peluang kerja selama 33 tahun,” ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, Patahiyah ketika berucap berkata, majlis berkenaan adalah pemangkin untuk semua pegawai serta kakitangan agar terus memberikan sepenuh perhatian dan daya usaha ke arah mempertingkatkan prestasi kerja, sekaligus menjadikan perkhidmatan MBPP terus diyakini serta menepati kehendak dan ekspektasi rakyat Pulau Pinang.

“Anugerah ini merupakan satu langkah bagi membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan.

“Proses pemilihan adalah mengambil kira pelbagai aspek seperti kewibawaan, ketrampilan dan penglibatan kakitangan dalam memberikan sumbangan terhadap pembangunan dan kesejahteraan masyarakat,” jelas beliau.