Penerima tawaran RTO PPR Permatang Tok Subuh gembira miliki rumah sendiri

Admin

MACHANG BUBUK – Seramai 37 penerima surat tawaran bagi skim sewa beli (RTO) unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permatang Tok Subuh meluahkan rasa syukur dan gembira apabila impian memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi realiti.

Roslan Shukur.

ROSLI SHUKUR, 47, ketika ditemui menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta pihak-pihak terlibat yang telah berusaha bagi memastikan penduduk mendapatkan kediaman sendiri.

“Alhamdulillah… sudah tentu saya gembira dan bersyukur kerana pada hari ini akhirnya kami mendapat tawaran memiliki rumah yang cantik dan selesa.

“Saya juga berasa amat terharu kerana walaupun pandemik COVID-19 masih belum berakhir tetapi barisan kepimpinan Kerajaan Negeri termasuk Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parlimen sanggup turun padang pada pagi ini untuk menyampaikan sendiri surat tawaran ini kepada kami.

“Kalau boleh saya harap kami dapat menduduki rumah ini secepat mungkin kerana saya sudah tidak mampu membayar sewa rumah sekitar RM600 sebulan,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas menerima surat tawaran berkenaan yang disampaikan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, di sini pagi ini.

Walau bagaimanapun, kata Rosli, dia berharap agar Kerajaan Negeri dapat berusaha untuk mengembalikan semula nama asal PPR Permatang Tok Subuh yang kini ditukar kepada Desa Markisah.

“Seeloknya nama Tok Subuh itu dikekalkan kerana kami semua berasa dari kampung dan kalau boleh kita mahu nama yang asal diguna pakai kerana lebih nostalgia” cadangnya.

Zuraidah Ismail.

Seorang lagi penerima, ZURAIDAH ISMAIL, 47, pula memberitahu bahawa surat tawaran yang diterima hari ini tepat pada waktunya kerana rumah yang disewanya kini perlu dikosongkan atas sebab-sebab tertentu.

“Sudah lima tahun saya menunggu untuk miliki rumah sendiri dan hari ini saya berasa lega dan sangat gembira,” ujarnya ringkas.

Jamilah Ismail.

Bagi JAMILAH ISMAIL, 60, pula berkata bahawa penantiannya selama lebih lima tahun akhirnya berbaloi apabila terpilih sebagai salah seorang menerima surat tawaran sewa beli PPR Permatang Tok Subuh hari ini.

“Perasaan saya sudah tentulah gembira, saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan ADUN setempat yang telah memberi peluang kepada kami untuk memiliki rumah idaman sendiri,” zahirnya.

Terdahulu, Jagdeep dalam ucapannya memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memberikan keutamaan kepada pembekalan rumah mampu milik termasuk rumah kos rendah dan sederhana rendah kepada penduduk di negeri ini.

“Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan harga rumah kos rendah, sederhana rendah dan rumah mampu milik dinaikkan harga.

“Sebagai contoh di PPR Permatang Tok Subuh ini yang terdiri daripada 39 unit rumah mampu milik menelan belanja RM4.5 juta atau sekitar RM115,000 seunit.

“Namun kita ditawarkan kepada penduduk pada harga RM42,000 sahaja yang mana sebahagiannya iaitu RM25,000 dibiayai oleh pemaju dan bakinya RM17,000 dibiayai oleh Bahagian Perumahan.

Rupa bentuk unit-unit PPR Permatang Tok Suduh atau kini dinamakan sebagai Desa Markisah.

“Ini bermaksud Kerajaan Negeri memberikan subsidi bagi setiap satu unit kediaman sebanyak RM73,000,” jelasnya lagi.

Berhubung permintaan penduduk yang mahu mengekalkan nama asal Permatang Tok Subuh, Jagdeep menjelaskan bahawa perbincangan lanjut akan dilakukan bersama-sama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi tujuan tersebut.

“Saya difahamkan oleh pihak MBSP bahawa nama Desa Markisah yang diberikan kini boleh ditukar. Oleh itu, kita akan masukkan permohonan untuk menamakan semula projek ini dengan nama Permatang Tok Subuh,” katanya.

ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong serta Ketua Penolong Setiausaha (Seksyen Dasar dan Pembangunan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Fakhurrazi Ibnu Omar antara yang turut sama dalam sidang media berkaitan di sini.

Difahamkan, projek PPR Permatang Tok subuh kini berada dalam tempoh akhir penyiapan yang mana kemajuan semasa adalah pada kadar 97.48 peratus dan tarikh siap dijangka pada 30 Disember 2020.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS