Penganugerahan pingat petugas 3D MBPP dan MPSP, Kerajaan Negeri teruskan tradisi

Admin

GEORGE TOWN – Kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri berhubung pengiktirafan berterusan kepada petugas Skuad 3D (Dirty, Dangerous and Difficult) menerusi penganugerahan pingat bersempena Sambutan Ulang Tahun Yang di-Pertua Negeri (TYT) saban tahun.

Malah, pada tahun ini, penganugerahan tersebut tidak terkecuali apabila seramai lima petugas MBPP dan MPSP (3) masing-masingnya menerima Pingat Jasa Masyarakat (PJM) bersempena Majlis Ulang Tahun TYT Ke-81.

Ucapan penghargaan tersebut disuarakan sendiri oleh Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir Addnan Mohd. Razali kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow selepas Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang dekat sini pagi ini.

Kon Yeow ketika ditemui melahirkan rasa sukacitanya apabila Kerajaan Negeri dapat meneruskan tradisi untuk mengesyorkan nama-nama pekerja 3D yang telah bertungkus-lumus untuk diberikan pengiktirafan.

“Saya percaya sudah melebihi lima tahun kita (Kerajaan Negeri) memberikan anugerah ini kepada pekerja-pekerja 3D membabitkan kedua-dua PBT.

“Mereka telah bertungkus-lumus melaksanakan kewajipan untuk menjaga kebersihan dan kehijauan bandar raya ini… dari kedua-dua PBT bertaraf Majlis sehinggalah kini dinaik taraf menjadi status bandar raya.

“Pencapaian status bandar raya ini bagi MBPP, dan MPSP yang akan dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 16 September nanti adalah juga atas sumbangan pasukan petugas di kedua-dua PBT yang meliputi semua jabatan termasuk petugas-petugas 3D.

“Walaupun menghadapi pelbagai kesulitan dalam melaksanakan kerja-kerja harian, mereka (pekerja 3D) semua tidak kisah pun apa jua keadaan cuaca, tugasan dan kewajipan tetap dilaksanakan juga. Syabas dan tahniah diatas penganugerahan ini!” ujarnya.

Rozali dalam ucapan ringkasnya merakamkan ucapan terima kasih kepada TYT di atas perkenan mengurniakan pingat PJM kepada petugas 3D MPSP.

“Begitu juga kepada Ketua Menteri yang telah banyak memberikan sokongan termasuk menyokong permohonan ini (pemberian pingat) yang mana kesemua mereka ‘wira orange’ telah berkhidmat melebihi lapan tahun, dan mereka juga adalah kebanggaan MPSP kerana bekerja di barisan hadapan,” jelasnya.

Seramai 229 penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri iaitu tujuh penerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN), Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN, 1), Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN, 12), Darjah Johan Negeri (DJN, 13), Bintang Cemerlang Negeri (BCN, 10), Pingat Kelakuan Terpuji (PKT, 22), Pingat Jasa Kebaktian (PJK, 70), PJM (86) dan Pingat Bakti Setia (PBS, 8) dalam majlis hari ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN & NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN