Pengarah JPS Pulau Pinang ramal hujan lebat sehingga November

Admin

SEBERANG JAYA – Pulau Pinang akan mengalami perubahan monsun dan fenomena hujan lebat bagi tempoh kira-kira tiga bulan bermula pada hujung September lepas.

Pengarah Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Ir. Shukri Muslim berkata demikian ketika mengulas mengenai fenomena hujan lebat pada Selasa lepas, yang bertembung dengan air laut pasang hingga membawa banjir kilat di beberapa kawasan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

“(Purata taburan) hujan (tahunan) di tanah besar (Seberang Perai) dianggarkan lebih kurang adalah 2,300 milimeter (mm), sehingga bulan September baru turun hujan 1,000 mm, ini bermakna ada lagi 1,300 mm akan turun dalam tempoh tiga bulan ini (Oktober hingga Disember 2019).

“Mengikut data statistik kita, hujan (lebat) mula turun bermula pada hujung bulan September hingga November.

“Dalam tempoh enam minggu ini, sangat kritikal, semua kita perlu berjaga-jaga, saya harap air hujan yang turun tidak sejumlah macam 8 Oktober lepas (iaitu) hampir 200 mm (purata taburan hujan) dalam sejam,” jelas beliau dalam sidang media bersama-sama Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo di Menara MBSP dekat Bandar Perda di sini pada 10 Oktober 2019.

Turut serta, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr. Rozali Mohamud dan Pengarah Kejuruteraannya, Baderul Amin Abdul Hamid.

Mengimbau kembali bencana bah besar yang melanda negeri ini bermula pada 4 dan 5 November 2017, Shukri memberitahu bahawa taburan hujan harian pada ketika itu antara 300mm hinggga 400mm sahaja.

“Apa yang saya nak sebutkan di sini, ada beberapa kawasan penempatan awal adalah berada di kawasan yang agak rendah.

“Apabila air laut pasang pada ketinggian mencecah 3 meter (m), akan berlaku banjir, akan melimpah masuk ke kawasan-kawasan penempatan yang lama, sebagaimana disebut oleh Datuk Bandar (MBSP).

“Untuk mengurangkan risiko banjir ini, kita perlu untuk pam air keluar ke semua sungai yang ada, walaupun ketika berlakunya air pasang dan hujan terlalu lebat, dan kos penyediaan pam ini sangat mahal,” ujarnya sambil meminta semua pihak berada dalam situasi berjaga-jaga.

Pada 8 Oktober lepas, antara jam 5.30 petang hingga 7.30 malam, hujan lebat yang bertembung dengan limpahan air dari parit monsun telah mengakibatkan banjir kilat di SPU dan SPS.

Sekitar Mak Mandin, Taman Cantik, Taman Sentul, Jalan Perusahaan, IKS Juru, Taman Binjai, Taman Bayu Mutiara, Kampung Dock, Kebun Sireh, Kampung Teluk Jalan Bukit Minyak, Jalan Tembikai Jalan Tol Kangar, Taman Bukit Minyak Indah, Takan Cendana dan Taman Sukun antara kawasan yang dilanda banjir kilat.

Mengulas lanjut, Jagdeep Singh Deo menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini memang sedang menyiapkan beberapa projek mitigasi berskala besar di bahagian Seberang Perai, yang kesemuanya dijangka siap pada bulan Mac 2020.

“Untuk kawasan Mak Mandin umpamanya, kerja-kerja membina rumah pam, naik taraf parit dan sungai untuk mempercepatkan air dari taman dikeluarkan ke Sungai Perai dijangka siap pada Mac 2020, yang mana kos projek bernilai RM40 juta,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Tambah Jagdeep, JPS negeri untuk tempoh 10 tahun akan datang termasuk bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan pada bulan ini, memohon RM1.7 bilion peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek-projek mitigasi banjir.

Katanya, MBSP turut memohon RM62 juta untuk projek-projek mitigasi banjir berskala kecil dan sederhana, daripada Kerajaan Persekutuan sempena perbentangan RMK-12 bagi tempoh tahun 2020 hingga 2025.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS