Pengecualian faedah bank mampu kurang hutang isi rumah – KM

Oleh: ZAINULFAQAR  YAACOB

BAGAN DALAM – Pengecualian bayar balik faedah pinjaman peribadi bagi mereka yang berpendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM5,000 wajar dipertimbang Bank Negara Malaysia (BNM) demi mengurangkan risiko bankrap lebih ramai warganegara.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, syor itu sekaligus mampu mengurangkan lagi rekod hutang isi rumah di negara ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jumlah hutang isi rumah terus meningkat, sungguhpun dilaporkan dalam kadar perlahan sejak tahun  2010 lagi.

“Pengecualian bayar balik faedah (interest) sahaja, tetapi, dengan syarat jumlah pinjaman pokok mesti dibayar (kepada bank).

“Jika dikecualikan pembayaran faedah ini, saya percaya lebih banyak hutang boleh dikutip kerana rakyat yang tidak mampu hanya bayar balik (jumlah hutang) ‘pokok’ saja,” jelasnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Kepada 500 Penerima Terpilih di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Datuk Seri R. Arunasalam (Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Datuk Seri R.A.) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh, A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam) dan Tan Sri Mohd. Yussof Latiff (Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, PEMENANG).

Majlis sumbangan membabitkan pelbagai bangsa dan keturunan tersebut adalah anjuran bersama Jawatankuasa Perkhidmatan Datuk Seri R.A dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Butterworth di sini. Difahamkan, BNM dalam laporan tahunannya pernah mendedahkan hutang isi rumah bagi tahun 2009 meningkat kepada 76.6 peratus dan pernah dikatakan rekod kedua tertinggi di Asia, berbanding 63.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2008.

Bagaimanapun, peningkatan jumlah hutang isi rumah sejak tahun 2010 pada kadar paling perlahan, iaitu sebanyak 9.9 peratus kepada RM904.3 bilion dan merangkumi 86.7 peratus daripada KDNK nominal pada akhir Jun 2014.

Daripada perangkaan itu, Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan turut mendedahkan bahawa kadar hutang isi rumah menunjukkan penurunan daripada 11.5 peratus atau RM855.9 bilion yang dicatat pada akhir 2013.

Laporan sama turut merumuskan hutang isi rumah termasuk pinjaman, terutama yang diberikan oleh sistem perbankan, institusi kewangan pembangunan,  Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan dan institusi kredit lain.

Sebelum itu, Guan Eng turut memuji inisiatif tahunan pasukan Arunasalam sejak 35 tahun lepas yang konsistan menganjurkan program sumbangan kepada golongan terpilih di negeri ini.

Penerima, Abdul Razak Mohd. Shariff, 56, yang ditemui kemudian merakamkan penghargaan kepada penganjur majlis sumbangan tersebut.

“Saya terima sumbangan kali kedua hari ini walaupun sumbangan ini diberikan sempena Deepavali… sekurang-kurangnya ini boleh tambah sara hidup bulanan,” ujar Abdul Razak, penduduk Kampung Kubur dekat Bagan.