Pengecualian sewa 4 bulan kepada premis perniagaan dan perumahan awam, MBPP tanggung RM3.8 juta

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang bersidang hari ini bersetuju memberikan pengecualian sewa kepada premis perniagaan dan perumahan awam miliknya selama empat bulan membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3,848,000.

Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng berkata, sebanyak 1,566 unit perumahan awam dan 5,963 unit komersial (premis perniagaan) terlibat untuk pengecualian sewa dari bulan April hingga Julai 2020 tersebut.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) telah memberi banyak impak ke atas rakyat dan golongan peniaga dalam meneruskan perniagaan dengan norma-norma baharu.

“Justeru, melalui pengumuman yang dibuat pihak Kerajaan Negeri melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0 pada 25 Mac 2020 dan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 (6 Mei 2020), pihak Majlis bersetuju memberikan pengecualian bagi meringan bebanan rakyat,” ujarnya pada Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang bersidang menerusi teleconference pagi tadi.

Menurut Yuee Harng, dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0, pengecualian sewa bulanan untuk rumah sewa Kerajaan Negeri dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi tempoh dua bulan iaitu April dan Mei 2020 telah diluluskan.

“Pengecualian sewa tambahan dua bulan lagi (Jun dan Julai 2020) telah diberikan dalam pakej 2.0.

“Manakala, pengecualian sewa satu bulan bagi premis-premis perniagaan milik Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada bulan April 2020 telah diluluskan (Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0) dan tambahan tiga bulan seterusnya iaitu Mei, Jun dan Julai 2020 dalam pakej bantuan 2.0,” ujarnya lanjut.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF