Pengeluaran produk baharu, Kopi Hang Tuah sasar keuntungan RM17 juta

Admin

TASEK GELUGOR – Pengeluar serbuk kopi pre-mix tempatan, Hang Tuah Sdn. Bhd. menyasarkan peningkatan keuntungan sebanyak RM17 juta tahun ini, berikutan pengenalan beberapa produk terbaharunya di pasaran.

 

Pengurus Besarnya, Mazwan Noor berkata, produk-produk terbaharu yang bakal dikeluarkan menjelang bulan Ramadan nanti ialah teh tarik mix, kopi segera dan produk campuran rempah siap pakai.

 

“Selain daripada produk-produk tersebut, kami juga akan memperkenalkan nasi impit dan kesemua produk-produk yang dinyatakan dijangka akan berada di pasaran pada Ramadan nanti,” ujarnya.

 

Kopi Hang Tuah merupakan produk perniagaan warisan tradisi yang diusahakan sejak tahun 1955 oleh pengasasnya, Allahyarham Zainal Said yang merupakan anak tempatan Pulau Pinang.

 

Mula dikenali sebagai Kopi Chap 3 Murid yang diusahakan di Seberang Perai dan telah dijenamakan sebagai Kopi Hang Tuah pada tahun 1957, produk pengeluarannya kini telah dipelbagaikan dan dipasarkan ke seluruh Malaysia dan juga peringkat antarabangsa.

 

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Dato’ Ir. Zakiyuddin Abdul Rahman meluangkan masa mengunjungi kilang berkenaan yang terletak di Kubang Menerong, di sini pada 3 April lalu.

 

Mengulas lanjut, Mazwan memberitahu bahawa syarikat berkenaan turut komited menuju ke arah industri hijau dengan memastikan segala aktiviti pengilangan tidak memberikan impak kepada alam sekitar melalui kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM).

 

“Kita komited dalam merealisasikan revolusi perindustrian dengan mengaplikasikan teknologi-teknologi terkini yang bersesuaian, tetapi pada masa sama masih mengekalkan pekerja-pekerja sedia ada seramai 98 orang yang mana 100 peratus rakyat tempatan,”katanya.

 

Dalam pada itu, Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri & Perhubungan Masyarakat berkata, beliau berbangga dengan perkembangan syarikat bumiputera berkaitan.

 

“Ini adalah satu pencapaian memberangsangkan apabila sebuah perniagaan kecil-kecilan kini mampu ke pasaran antarabangsa,” ujarnya.