Pengesanan kontak lokaliti PKPD pekan Bayan Lepas diteruskan

Admin

BAYAN LEPAS – Selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pekan Bayan Lepas berkuat kuasa 4 Jun hingga 17 Jun 2021, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Barat Daya telah membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi menyelaras segala keperluan dikehendaki.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika mengadakan lawatan ke lokasi berkaitan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Kampung Bukit di sini petang tadi.

“PKOB akan mengkoordinasi bantuan diperlukan penduduk serta pasukan keselamatan bertugas.

“Malah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zakat Pulau Pinang (ZPP), pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga menyumbangkan bantuan serta sumbangan diperlukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan yang juga ADUN Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Turut hadir, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan A.A. Anbalagan.

Dalam lawatan tersebut Anbalagan turut memberikan penerangan kepada Kon Yeow.

 

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Anbalagan memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengerahkan 60 keanggotaan selain tambahan daripada lain-lain agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Hari pertama dan kali pertama memang ada sedikit cabaran seperti masih ada penduduk mohon untuk keluar.

“Kita cuma benarkan atas alasan kesihatan seperti penerimaan vaksin, dialisis dan yang berkaitan, selain daripada itu, memang tidak dibenarkan,” ulasnya.

PKPD Pekan Bayan Lepas adalah melibatkan  kira-kira 10,000 penduduk meliputi 13 lokaliti iaitu Sri Bayu; Bayu Tiara; Bayu Nyaman; Halaman Murni; Bayan Permai; Bayan Tiara; Taman Ara Indah; Kampung Bukit; Kampung Perlis; Kampung Masjid; Jalan Mahkamah; Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit.

Pengesanan kontak masih diteruskan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam memutuskan rantaian perebakan wabak COVID-19 di lokaliti berkenaan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI