Penggantian injap 1,200mm siap, harap fasa pemulihan lancar – Kon Yeow

Admin
9c4fc500 aead 4cf0 a333 6814089d6797

SUNGAI DUA – Tepat jam 3 petang tadi, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa kerja-kerja penggantian injap pertama bersaiz 1,200 milimeter (mm) di dalam perkarangan Loji Rawatan Air (LRA) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dekat Sungai Dua telah siap dijalankan.

 

 

“Bagi kerja-kerja penggantian injap kedua bersaiz sama berhampiran pagar LRA Sungai Dua, ia telah mencapai 95 peratus dan dijangka siap sepenuhnya petang ini juga.

 

 


“Dalam tempoh ini, sebanyak 22 kerja-kerja lain turut dijalankan dan kita menjangkakan ia akan siap mengikut jadual yang telah dikeluarkan sebelum ini.

 

 

 

“(Di sini), kita boleh nampak injap yang diganti sebenarnya dipasang sejak tahun 1973 buatan negara Perancis dan telah berkhidmat lebih daripada 50 tahun kepada pengguna air dan sudah bocor,” ujarnya ketika meninjau kerja-kerja penggantian injap berkaitan di LRA Sungai Dua dekat sini sebentar tadi.

whatsapp image 2024 01 10 at 13.44.23


Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan dan kakitangan-kakitangan teknikal PBAPP terlibat.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP menjangkakan proses kedua iaitu mengepam air ke LRA melalui dua punca juga akan dapat dijalankan pada petang ini.

 

43ed57e6 25b7 41bd b8fe 3bf5b235950c


“Ia masih skop hari pertama, kita sudah habiskan proses pertukaran injap, diikuti masuknya air dari Sungai Muda dan Empangan Mengkuang supaya proses rawatan (air) boleh dimulakan sekiranya semua keadaan adalah baik.

 

 

 

“Seterusnya, jurutera-jurutera (PBAPP) akan meneruskan proses rawatan agar air dapat disalurkan mengikut jadual ditetapkan.

 

 

“Sekiranya kita boleh capai kerja ini dengan lebih baik, maka pengguna akan mendapat bekalan air pada tempoh lebih awal,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

 

 

Mengikut jadual, difahamkan sebanyak 33 peratus pengguna akan menerima bekalan air bermula 24 sehingga 48 jam, seterusnya, 84 peratus pengguna akan menerima bekalan dalam tempoh 72 hingga 96 jam; selebihnya, 99.5 peratus bagi tempoh 96 jam, manakala bagi baki 0.5 peratus meliputi penghujung sambungan paip serta tempat tinggi adalah melebihi tempoh 96 jam.

 

 

Kon Yeow berkata, dalam fasa pemulihan, pergerakan lori-lori tangki akan disusun mengikut kawasan, apabila (kawasan) sudah pulih maka, lori di kawasan terbabit akan dikerah ke kawasan yang belum memperoleh bekalan kerana kita tidak mahu pengguna tunggu terlalu lama.

 

 

 

“Walaupun kerja-kerja ini siap dan mengikut pelan dirancang, namun ia hanya boleh dikatakan sempurna apabila semua pengguna air memperoleh bekalan air semula,” ulasnya.

 


Kon Yeow dalam pada itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas dan kakitangan yang bertungkus-lumus menyiapkan pembaikan berkaitan dan turut menyeru rakyat berdoa agar pemulihan dapat dilaksanakan dengan cepat.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS