Pengguna dinasihatkan ikut arahan pihak berkuasa bagi melicinkan aliran trafik di Air Itam sepanjang perayaan Tahun Baru Cina – ADUN

JOSEPH Ng Soon Siang (tiga dari kiri) menunjukkan pelan lokasi parkir bagi kawasan Bukit Bendera bersama Cheok Lay Leng (kiri sekali) bersama dengan wakil MBPP, PDRM dan JPJ pagi ini

 

 

AIR ITAM – Sempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 5 dan 6 Februari ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan kawalan lalu lintas di kawasan Air Itam untuk melancarkan pergerakan trafik di sini.

 

Perkara tersebut dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dalam satu sidang media pagi tadi.

 

Katanya, Inisiatif Kerajaan Negeri tersebut akan dikelola oleh beberapa badan kerajaan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

“Kita tahu apabila Tahun Baru Cina, kawasan ini selalunya sesak, justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak meletakkkan kenderaan sesuka hati di bahu jalan.

 

“Bas persiaran juga tidak dibenarkan untuk menunggu di kawasan Air Itam, mereka (pemandu bas)  cuma dibenarkan mengambil dan menurunkan penumpang sahaja dan bas perlu diletakkan di tempat letak kenderaan dekat Jalan Stesen (Bukit Bendera) atau di Kuil Kek Lok Si.

 

“Oleh itu, orang ramai dan pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mengikut arahan pihak berkuasa bagi melicinkan aliran lalu lintas dan mengelakkan kesesakan teruk di kawasan ini,” jelasnya dalam satu siding media dekat Jalan Stesen pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Rohaizat Hamid; Jurutera Kanan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam, Zainuddin Mohamad Shariff; Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Cheok Lay Leng dan wakil dari PDRM dan JPJ.

 

Difahamkan, jumlah keseluruhan parkir di kawasan Bukit Bendera dan kawasan sekitar adalah melebihi 1,000 petak untuk kemudahan pengunjung yang bercuti di sini.

 

Dalam pada itu, Zainuddin ketika berucap menasihatkan orang ramai untuk elak dari menggunakan laluan utama di kawasan Air Itam seperti berhampiran pasar awam.

 

“Sebaliknya orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif seperti pintasan melalui Kampung Pisang, Jalan Zoo dan sebagainya.

 

“Pada masa sama, pihak polis juga akan menempatkan anggota-anggotanya selama 24 jam untuk mengawal di lokasi-lokasi penting sempena perayaan tersebut,” ujarnya.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD