GEORGE TOWN – Sejak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) diperbadankan bagi tempoh 25 tahun ini, pengguna air domestik Pulau Pinang telah menikmati subsidi air berjumlah kira-kira RM2.5 bilion.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa jumlah subsidi tersebut adalah selaras dengan penghasilan air terawat oleh PBAPP yang mana adalah antara tertinggi.
“Sebenarnya kos penghasilan air bagi Pulau Pinang adalah lebih tinggi daripada kadar tarif yang dikenakan, hakikatnya sejak PBAPP diperbadankan 25 tahun dahulu kita telah dan terus memberi subsidi, pengguna domestik tidak membayar harga sebenar yang lebih tinggi.
“Namun, PBAPP masih mencatatkan keuntungan kerana pengguna bukan domestik (komersial) dicaj lebih tinggi daripada kos operasi, jadi jumlah itu yang menampung kos subsidi juga, yang mana setiap tahun mencatatkan keuntungan RM20 juta hingga RM30 juta keuntungan.
“Walaupun kenaikan tarif dilaksanakan pada tahun ini, subsidi yang diberikan masih berjumlah RM78 juta hingga RM80 juta setahun, ini termasuk pemberian subsidi kepada sekolah, rumah ibadat serta Projek Perumahan Rakyat (PPR), cuma jumlahnya tidak mencapai RM100 juta,” ujarnya dalam sidang media di sini petang tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kadar baharu tarif juga adalah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kabinet, peringkat Lembaga Pengarah PBAPP Holdings dan juga barisan Exco.
“Proses tersebut melalui banyak peringkat di samping berdepan dengan isu tekanan air yang dihadapi beberapa kawasan di Pulau Pinang.
“Oleh itu, kenaikan tarif juga penting untuk pelan kontingensi bekalan air yang mana menjelang tahun 2030, terdapat lapan projek berkaitan air bernilai RM1.1 bilion, selain isu sukuk bon yang perlu membayar faedah.
“Ini adalah antara cabaran yang kita (PBAPP) hadapi, maka saya harap kenaikan tarif ini akan menimbulkan kesedaran untuk pengguna menjimatkan penggunaan air dan gunakannya dengan berhemah,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa sekiranya penggunaan air domestik dikurangkan, ia secara langsung juga dapat mengurangkan masalah kapasiti tekanan, kadar operasi loji rawatan air dan kesan-kesan lain,” ulasnya yang juga Pengerusi PBAPP.
Mengulas kenyataan ADUN Air Putih, Lim Guan Eng berhubung permohonan rebat kepada SPAN, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa ia tidak akan melibatkan keputusan beliau sahaja.
Perkara itu perlu dibawa ke Mesyuarat Exco untuk dibincangkan,” jelasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD