Penggunaan Akta 672 di Pulau Pinang masih pada peringkat perbincangan – Ketua Menteri

Admin
whatsapp image 2024 03 14 at 1.21.17 pm (1)

GEORGE TOWN – Pengguaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di negeri Pulau Pinang masih lagi pada peringkat perbincangan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah memberikan taklimat mengenai penggunaan akta itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kerajaan Negeri baru-baru ini.

“Saya boleh mengesahkan bahawa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp) telah memberikan taklimat mengenai perkara ini kepada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dalam beberapa minggu lalu.

“Pihak Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung penggunaan Akta 672 di negeri ini, tetapi sebarang keputusan yang akan dibuat adalah tertakluk kepada perbincangan seterusnya,” katanya ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneliti perkara itu secara lebih mendalam termasuk mengkaji kelebihan serta kekurangan penggunaan tersebut.

“Sudah banyak negeri yang mengguna pakai akta ini kecuali Pulau Pinang dan beberapa lagi negeri lain.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan meneliti kesan penggunaan akta ini dari segi manfaat, kelebihan, kekurangan dan pelbagai aspek lain yang perlu.

“Kita juga akan membuat perbandingan keadaan negeri yang menerima pakai akta ini dengan negeri yang menguruskan sendiri sisa pepejal mereka sebelum sebarang keputusan boleh dibuat,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Pulau Pinang mungkin menjadi negeri ke sembilan menerima pakai Akta 672 selepas Selangor yang secara prinsip sudah menyatakan persetujuan mahu mengguna pakai akta tersebut.

Ketika ini, tujuh negeri mengguna pakai Akta 672 iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Difahamkan, Akta 672 adalah untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berhubungan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS