Penggunaan Jata Kerajaan Negeri tanpa kelulusan boleh dikenakan tindakan undang-undang

Admin

GEORGE TOWN – Penganjuran sesuatu acara dengan menggunaan Jata Kerajaan Negeri Pulau Pinang tanpa kelulusan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, undang-undang bagi penyalahgunaan Jata Kerajaan Negeri adalah tertakluk di bawah Enakmen State of Penang Emblems and Names (Prevention of Improper Use) (Penang No. 8 of 1961) iaitu suatu enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

“Tindakan dari segi perundangan boleh diambil ke atas mana-mana pihak sekiranya didapati menggunakan Jata Kerajaan Negeri Pulau Pinang tanpa kebenaran atau kelulusan.

“Walau bagaimanapun, sehingga kini Kerajaan Negeri masih mengambil pendekatan secara berhemah dengan menasihati pihak yang bercadang menggunakan Jata Kerajaan Negeri supaya mengemukakan permohonan secara bertulis kepada Setiasausaha Kerajaan Negeri.

“Sekiranya terdapat cadangan bagi tujuan penguatkuasaan pada masa hadapan, perkara ini perlu diperhalusi dan dilaksanakan berlandaskan peraturan-peraturan atau undang-unsdang berkaitan enakmen sedia ada,” katanya semasa Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 dekat Dewan Sri Pinang semalam.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata demikian sebagai menjawab soalan dikemukakan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Selain itu, kata Kon Yeow, pemeran Jata Kerajaan Negeri pada kenderaan-kenderaan juga ditakrifkan sebagai satu kesalahan sekiranya tidak mendapat kelulusan.

“Namun, penggunaan Jata Kerajaan Negeri pada kenderaan-kenderaan mungkin tertakluk kepada penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mana saya percaya tindakan diambil dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD