Jabatan Penjara Negeri terharu dengan bantuan diterima

GEORGE TOWN – Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamad Jusoh Ismail menzahirkan rasa terharu atas bantuan pelbagai pihak yang diterima ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika menerima bantuan berupa 5,000 pasang sarung tangan dan 10,000 pelitup muka dari  Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Cawangan Pulau Pinang (MCCBCHST) untuk kegunaan Penaja Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai di Jawi.

“Saya cukup terharu dengan bantuan di Pulau Pinang, ia termasuk dari Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, restoran-restoran dan banyak pihak yang menyumbang sejak pademik ini melanda penjara reman dan penjara Jawi.

“Walaupun persepsi negatif kepada penghuni penjara namun atas dasar kemanusiaan mereka ini perlu dibantu, kita ambil mereka dari mahkamah dalam keadaan baik jadi perlu pulangkan nanti pun dalam keadaan baik setelah menjalani pemulihan.

“Jadi saya ingin rakamkan ucapan terima kasih kepada MCCBCHST atas sumbangan yang diberikan,” ujar beliau ketika berucap.

 

Hadir sama, Pengerusi MCCBHST, A. Arokiadass dan wakil-wakil Jabatan Penjara Malaysia Negeri Pulau Pinang.

Difahamkan Penjara Reman Pulau Pinang menempatkan 2,300 tahanan reman manakala Penjara Seberang Perai lebih 1,900 banduan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN