PP – Thailand kukuh kerjasama, terokai peluang baru

Gambar: ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Hubungan dua hala antara Pulau Pinang dan Thailand terus diperkukuhkan dengan penganjuran Seminar Perniagaan dan Padanan Perniagaan bersama Delegasi Thailand di sini baru-baru ini.

Seminar bertujuan menyediakan landasan kepada ahli perniagaan dari kedua-dua buah negara itu turut memberi ruang kepada lebih 50 delegasi dari Thailand untuk membina jaringan perniagaan (business networking) serta menjalinkan kerjasama serantau antara dua buah entiti.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang mengetuai delegasi Pulau Pinang berkata, penganjuran julung kali diadakan tahun ini bukan hanya mencari peluang pelaburan, tetapi juga mempromosikan industri halal di rantau ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) menjemput delegasi dari Thailand ke Pulau Pinang setelah mereka melihat sendiri kesungguhan kita ‘menawan’ pasaran halal global.

“Selain itu, pastinya sesi pemadanan perniagaan dan taklimat yang diadakan menjadi platform terbaik untuk semua usahawan mempromosikan perkhidmatan serta perniagaan masing-masing membina rangkaian, memahami peluang perniagaan dan mewujudkan komuniti usahawan bagi kedua-dua buah negara,” katanya ketika hadir merasmikan seminar tersebut baru-baru ini.

Turut sama, Konsul Besar Thailand, H.E. Srirat Vathesatogkit, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rahim Ishak, Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian, Pengerusi IMT-GT (Joint Business Council), Datuk Faudzi Naim Noh, Pengurus Besar Penang Global Tourism (PGT), Ooi Chok Yan dan Pengurus Besar Penang International Halal Hub, Mohd. Firhan Mohd. Ghouse.

Tambah Mohd. Rashid, perniagaan yang cemerlang dan kukuh bukan sahaja mementingkan hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G), tetapi juga mementingkan hubungan perniagaan dengan perniagaan (B2B) dan kerajaan dengan perniagaan (G2B).

Dalam pada itu, Ketua Delegasi Thailand, Akarapong Dipavajra memuji komitmen dan sikap proaktif Kerajaan Negeri dalam mengembangkan perniagaan serta mencari peluang pelaburan baru di rantau ini.

Beliau turut mengharapkan penyertaan minat dalam sesi padanan perniagaan bersama lebih 100 ahli perniagaan dari Pulau Pinang dapat dikembangkan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga sehingga ke Thailand.