Pengisytiharan MBSP detik bersejarah

BERTAM – Pulau Pinang melakar satu lagi sejarah apabila Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) secara rasminya dinaik taraf dan dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkuatkuasa hari ini.

Pengisytiharan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas pada majlis penyerahan surat cara pengisytiharan MBSP dekat Dewan Milenium, di sini sebentar tadi.

Zuraida Kamaruddin menyerahkan surat cara pengisytiharan MBSP kepada Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Upacara majlis pengisytiharan bermula dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyerahkan surat cara pengisytiharan tersebut kepada Abdul Rahman sebelum beliau (Abdul Rahman) menzahirkan lafaz pengisytiharan MBSP sebagai bandaraya.

Serentak itu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyempurnakan bacaan surat cara pelantikan Dato’ Sr. Rozali Mohamud sebagai Datuk Bandar Seberang Perai di hadapan Abdul Rahman.

Rozali Mohamud menandatangani surat pelantikan Datuk Bandar pertama Seberang Perai sambil disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Rozali kemudiannya melafazkan penerimaan jawatan serta mempersembahkan ikrar setia di hadapan Abdul Rahman sebelum dikalungkan dengan Kalung Jawatan serta penyerahan Cokmar kepadanya.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri; ex-officio serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai MBSP.

Tun Dr. Abdul Rahman Abbas bergambar kenang-kenangan bersama-sama dif-dif jemputan kehormat selepas selesai majlis penyerahan surat cara pengisytiharan MBSP.

Dalam pada itu, Rozali ketika ditemui menzahirkan rasa gembira di atas pengisytiharan MBSP dan pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar pertama Seberang Perai.

Beliau berkata, kejayaan tersebut dicapai dengan adanya sokongan padu daripada Ketua Menteri, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Majlis, ketua-ketua jabatan dan warga Seberang Perai khususnya Wira Oren yang begitu banyak berjasa.

Rozali Mohamud menerima Cokmar selepas dilantik sebagai Datuk Bandar pertama bagi Seberang Perai.

“Saya bagi pihak warga kerja MBSP ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga Seberang Perai yang sentiasa bekerjasama dalam semua program yang kita adakan, kerana tanpa kerjasama penduduk kita tidak mungkin dapat taraf bandaraya,” katanya.

Difahamkan, MBSP menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) ke-15 diiktiraf sebagai Majlis Bandaraya di negara ini.

Malah, pengisytiharan tersebut juga meletakkan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri dengan kedua-dua PBT bertaraf bandaraya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : LAW SUUN TING