Pengorbanan SKSN siapkan projek Techlympic hingga lewat malam hadirkan pingat perak

PADA 26 dan 27 November lalu, telah berlangsung pertandingan akhir Malaysia Techlympics 2022 Peringkat Kebangsaan dekat Axiata Arena Bukit Jalil.

 

Pada pertandingan tersebut, Pulau Pinang berjaya merangkul juara keseluruhan dengan membawa pulang sebanyak tujuh pingat emas, tujuh pingat perak dan dan dua pingat gangsa.

 

Salah sebuah sekolah yang berjaya menggondol pingat perak ialah Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong (SKSN) yang dibimbing oleh Cikgu ZUYANTI ZOKLIFLI dan Cikgu NOOR HAYATI ISMAIL.

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD sempat menemu bual Zuyanti dan Noor Hayati atas kejayaan melalui projek Rumah Masa Depan.

 

Bertitik tolak daripada penyertaan pertandingan peringkat zon, SKSN menampilkan pasukan meliputi reka bentuk rumah masa depan, fast coding, bawa misi penerbangan dron dan kenderaan masa depan.

 

“Selepas berjaya di peringkat zon, kami layak memasuki peringkat seterusnya di Pusat Sains Negara, Alor Setar dan terus layak ke peringkat kebangsaan dekat Axiata Arena Bukit Jalil.

 

“Di situ, sebanyak 57 penyertaan dari seluruh Malaysia dan seperti dijangka saingan memang hebat dan saya sendiri tidak menyangka pasukan kami berjaya mebawa pulang pingat perak bagi kategori Rumah Masa Depan.

 

“Atas kemenangan tersebut juga, pasukan SKSN turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000,” ujar Zuyanti.

 

Zuyanti berkata, antara resipi kejayaan pasukan SKSN adalah dengan memupuk minat para pelajar terhadap mata pelajaran sains sebelum melibatkan diri dalam projek-projek berkaitan.

 

“Seperti mana kita tahu, kos untuk kelas melibatkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ini memang agak mahal.

 

“Jadi saya dapatkan bantuan daripada Penang Science Cluster (PSC) untuk meminjam barang-barang seperti robot, jadi para pelajar dapat belajar coding dan kelas-kelas dalam talian.

 

“Kalau ada kelas-kelas percuma dalam talian memang saya akan galakkan murid-murid saya untuk sertai, tambahan pula masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) banyak kelas percuma dianjurkan jadi memang saya suruh masuk untuk belajar perkara seperti coding.

 

Ditanya mengenai kekuatan pasukan SKSN, Noor Hayati menjelaskan bahawa anak muridnya itu dapat menguasai sesi soal jawab dengan baik.

 

“Selepas pembentangan kepada barisan juri, setiap pasukan perlu berdepan dengan sesi soal jawab lebih kurang tiga minit Bersama para juri.

 

“Alhamdulillah… anak-anak murid berjaya menjawab dengan baik kerana projek ini memang mereka yang siapkan sendiri.

 

“(Dan) sesi inilah juri mampu menilai sama ada projek tersebut adalah asli dan ciptaan murid atau cikgu yang tolong buatkan,” jelasnya.

 

Setiap kejayaan pastinya hadir dengan cabaran tersendiri terutamanya dalam menyiapkan projek termasuk proses membawa murid-murid ke lokasi pertandingan.

 

“Saya bersyukur kerana murid-murid turut berkorban masa, adakalanya kami semua pulang sampai lewat malam kerana waktu persiapan agak singkat.

 

“Walau bagaimanapun saya bersyukur berkat kesungguhan yang ditunjukkan dan ditambah dengan keinginan mereka untuk belajar sesuatu baharu akhirnya membuahkan hasil.

 

“Tambahan pula, sekarang tiada peperiksaan jadi di sinilah peluang mereka mengaplikasikan apa yang mereka belajar.

 

“Apabila kita bawa kanak-kanak keluar dari sekolah, kita (guru) yang perlu ambil tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada mereka di sana,” ulas Zuyanti yang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas tajaan pengangkutan.

 

Bercakap mengenai harapan, Zuyanti berharap penampilan mereka pada tahun hadapan akan lebih cemerlang.

 

“Kalau boleh kita mahu sekurang-kurangnya dapat mengekalkan kejuaraan atau lebih baik lagi kita menang lebih banyak kategori seterusnya mendapat pingat emas pula.

 

“Satu lagi adalah lebih baik sekiranya ada pihak-pihak di luar sana yang sudi menaja kami kerana seperti mana kita tahu, kos untuk masuk ke pertandingan seperti ini bukanlah murah,” katanya menutup bicara.