Penguatkuasaan bermula, ‘pemutihan hotel’ lanjut hingga 31 Oktober 2016

GEORGE TOWN – Langkah penguatkuasaan ke atas hotel-hotel yang beroperasi tanpa lesen mula dilaksanakan kini, sungguhpun Kerajaan Negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh program ‘pemutihan hotel’ sehingga 31 Oktober tahun depan.

Demikian kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada sidang media bersama-sama Pengarah Kawalan Bangunan MBPP, Ar. Yew Tung Seang.

“Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah melakukan pelbagai usaha bagi membantu para pengusaha memperoleh lesen yang sah, antaranya, kita (Kerajaan Negeri) telah melonggarkan syarat-syarat permohonan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di sini.

Kon Yeow menjelaskan bahawa pemilik yang berjaya melengkapkan syarat-syarat permohonan berwajib bagi lesen sementara sebelum 1 November lalu akan menikmati bayaran pembaharuan permit pada sedia ada, iaitu serendah RM2,400.

“Syarat-syarat berwajib yang dimaksudkan adalah permohonan Pelingkungan Semula, Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan serta menukar Syarat Nyata Tanah.

“Kadar baru sebanyak RM7,200 dikenakan ke atas pemilik yang belum mengemukakan syarat-syarat permohonan berwajib sebelum 31 Oktober lalu,

“Bagi pengendali hotel yang tidak pernah memohon lesen sementara sehingga tempoh 31 Oktober tahun depan, boleh diberi permit sementara atas kadar RM9,600,’’ jelas beliau.

MBPP pada 22 Oktober lalu telah menyerbu sebuah hotel yang dikenal pasti beroperasi tanpa lesen di tengahtengah bandar raya George Town.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan mengeluarkan kompaun RM250 kepada pengendali hotel tersebut.

Selain memusnahkan beberapa struktur konkrit tanpa kebenaran pada hotel tersebut, beberapa aksesori seperti tilam dan televisyen turut dirampas oleh PBT berkenaan.

“Yang telah kita ambil tindakan sebelum ini hanya satu (sebuah) hotel, dan (operasi) ini adalah yang kedua.

“Tindakan yang kita ambil hari ini antaranya merobohkan pembahagi (antara kamar-kamar hotel) kerana tiada dalam pelan bangunan, serta merampas beberapa peralatan seperti tilam, televisyen dan beberapa kemudahan lain (di hotel ini),” jelas Penolong Pegawai Jabatan Kawalan Bangunan MBPP, Mohd. Nizam Saad kepada wartawan di sini.

Tambah beliau, langkah penguatkuasaan tersebut adalah meliputi seluruh bahagian pulau, termasuk zon George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Yang dikuatkuasa bukan hotel (berstatus) warisan, tetapi, hotel tanpa lesen dalam zon warisan,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pelesenan MBPP, Mohamad Hasan Abul Rahman memberitahu, hotel-hotel yang telahpun dikenakan kompaun tidak terkecuali untuk berdepan dengan langkah penguatkuasan, sama pada masa hadapan, sekiranya masih enggan mengikut peraturan berwajib yang digariskan oleh PBT berkaitan.

Bagaimanapun, jelas beliau, pengendali hotel terbabit boleh membayar kompaun serta menuntut peralatan-peralatan yang dirampas, selepas mendapatkan lesen berwajib daripada MBPP.

Difahamkan, lebih 20 hotel di bahagian pulau dikenalpasti beroperasi tanpa lesen, sungguhpun selepas langkah pemutihan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Seramai 30 anggota MBPP terlibat dalam operasi berkenaan, membabitkan Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Kawalan Bangunan serta Jabatan Perancang dan Pembagunan.

Pertama kali MBPP melaksanakan langkah penguatkuasaan tersebut adalah pada 9 Oktober lalu, di Lebuh Penang di sini, selepas hampir dua tahun langkah pemutihan hotel diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri.

Menurut Kon Yeow, langkah moratorium atau pergantungan serta penangguhan kegiatan penguatkuasaan berwajib atas persetujuan bersama yang dilaksanakan itu diharap dapat menggamit minat para pengendali hotel tanpa lesen untuk bersama-sama Kerajaan Negeri menjayakan pelan pemutihan hotel di negeri ini.