Pengunjung pasar raya setuju PKP dilanjutkan

Admin

BATU UBAN – Rata-rata pengunjung sebuah pasar raya di Sungai Dua hari ini bersetuju sekiranya kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Dalam tinjauan yang dilakukan oleh Buletin Mutiara itu juga, orang ramai menyifatkan kes COVID-19 ini masih meningkat walaupun jumlah pesakit sembuh turut bertambah.

Seorang kakitangan awam, Farhana Syamimi Abdull Rahman, 26 tahun bersetuju sekiranya PKP ini dilanjutkan lagi.

“Kalau ikutkan penambahan kes COVID-19 saya rasa perlu disambung PKP ini.

”Tengok data kes hari-hati, penambahan kes lingkungan 100-200 jadi kalau kerajaan tambah pun kita perlu setuju,” katanya.

Bagi seorang guru, Gan Jian Kai, 26, lanjutan PKP boleh menjejaskan ekonomi, namun ianya terpaksa dilakukan ekoran keselamatan nyawa.

“Macam saya, seorang guru tuisyen, tempoh PKP ini memang mencabar tetapi jika kes meningkat kita tidak boleh buat apa-apa.

“Cuma bersyukur di Pulau Pinang kes tidak terlalu tinggi dan saya amat bersetuju skiranya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang ingkat PKP ini,” ujarnya.

Seorang lagi kakitangan awam, Suffian Alias, 34 tahun pula berkata, PKP yang ditamatkan amat merisikokan kanak-kanak sekolah.

“Kes masih ada, sekiranya anak-anak ke sekolah mereka masih tidak faham sepenuhnya jarak selamat, soal kebersihan dan sebagainya.

“Kalau orang dewasa bolehlah kita arahkan jarak sosial macam kita berbaris ini kalau jadi kluster sekolah memang susah nak tangani,” jelas Suffian sambil menggesa semua rakyat mematuhi PKP fasa dua ini.

 

Bagi V. Shanker, 48 melalui fasa PKP memerlukan beliau bertugas secara selang seli dalam tempoh seminggu.

“Pendapat saya mungkin PKP ini akan disambung, kita serahkan keputusan kepada kerajaan.

“Bagi saya mungkin mereka lebih arif kerana dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysi (KKM), kita sebagai rakyat perlu patuh kepada arahan sahaja,” katanya yang bertugas di sektor perindustrian.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video :: DARWINA MOHD. DAUD