Pengunjung Thaipusam, Chap Goh Meh dinasihat patuhi langkah pencegahan digariskan KKM

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap semua pihak yang menyertai ‘perayaan berkembar’ – Thaipusam dan sambutan Chap Goh Meh pada hari minggu ini dinasihati supaya mematuhi langkah-langkah pencegahan berwajib sebagaimana digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk memakai topeng muka.

Menurut beliau, seramai dua juta pengunjung dijangka membanjiri Pulau Pinang bermula Jumaat ini (7 Februari) sempena sambutan dwi perayaan – Thaipusam dan Chap Goh Meh.

“Saya fikir telah ramai pihak memberi nasihat…(termasuklah) menjauhkan diri daripada mereka yang mempunyai tanda-tanda dijangkiti wabak Coronavirus (2019-nCoV).

“Kaedah terbaik adalah dengan memakai topeng muka,” jelasnya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media di Komtar pada 5 Februari 2020.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa keadaan trafik pada hari dwi perayaan itu diharap dapat dikawal sebaik mungkin termasuk dengan bantuan kapasiti 70 peronda trafik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN