GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini mengakui wujud keperluan mendesak untuk menambah bilangan kakitangan di Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), selaras dengan pertumbuhan pesat skim perumahan strata di Pulau Pinang.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memaklumkan bahawa beban kerja yang dipikul oleh kakitangan COB di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini semakin mencabar ekoran pengurusan skim strata yang kian kompleks.
Menurut beliau, berdasarkan rekod semasa, MBPP kini menyelia sebanyak 1,410 skim pemajuan strata yang melibatkan 253,107 petak, manakala MBSP (1,191 skim; 103,963 petak).
“Di MBPP, COB mempunyai 24 penjawatan dengan 21 daripadanya telah diisi, manakala di MBSP pula hanya mempunyai 11 jawatan dan kesemuanya telah diisi.
“Jika dilihat pada nisbah penjawatan sedia ada berbanding jumlah skim dan petak yang perlu diselia, memang terdapat keperluan untuk melakukan penambahan kakitangan bagi memastikan pemantauan serta penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih berkesan,” ujarnya ketika menjawab Soalan Lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 13 Mei 2026.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa buat masa ini, kedua-dua PBT tetap berusaha mengoptimumkan sumber manusia sedia ada dalam mengendalikan aduan serta tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
Di samping itu, Mooi Lye yang juga ADUN Jawi turut menjawab soalan tambahan mengenai bantuan kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) untuk kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur bersama seperti pembaikan lif, bumbung, tangki air dan mengecat semula bangunan.
“Bagi perumahan strata kos rendah dan sederhana rendah swasta (harga asal RM80,000 ke bawah), permohonan boleh dibuat melalui Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) di bawah KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).
“Manakala bagi perumahan strata swasta dengan harga belian asal RM150,000 ke bawah, Kerajaan Negeri menyediakan Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) dengan peruntukan sebanyak RM8.8 juta setahun,” ujarnya.
Tambah beliau, statistik penyaluran dana TPPM menunjukkan peningkatan saban tahun dengan MBPP menerima RM8.38 juta pada 2025, manakala MBSP (RM5.66 juta) bagi tempoh sama.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua wakil rakyat agar membantu penduduk di kawasan perumahan kos rendah yang masih belum mempunyai JMB atau MC untuk segera menubuhkannya.
“Penubuhan JMB atau MC adalah syarat wajib untuk memohon bantuan tabung penyelenggaraan ini.
“Tanpa badan pengurusan yang sah, ia akan menjadi kekangan besar bagi Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan untuk menyalurkan bantuan teknikal dan kewangan,” tegasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD