Pengusaha ikan kering gelama berdaya saing dan kreatif

Admin

 

IKAN kering yang telah sedia untuk dibungkus
IKAN kering yang telah
sedia untuk dibungkus
ABDUL Hadi Edar.
ABDUL Hadi Edar.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

SEMANGAT dan ketekunan Abdul Hadi Edar, 66, dalam mempelbagaikan produk jualan seperti kicap, sos cili, sos tomato, cuka dan belacan selain penghasilan ikan kering adalah amatlah dikagumi.

Malah, kesungguhan beliau dalam memasarkan produk-produk keluarannya sendiri juga perlu dicontohi usahawan-usahawan muda kini.

“Orang kita berniaga malu, segan! Kita kena berani, tak malu walaupun dimarah,’’ tegasnya kepada Buletin Mutiara (BM) yang berkunjung ke kediaman beliau yang juga menjadi lokasi memproses produk ikan kering di Jalan Baru, Sungai Acheh, Seberang Perai Selatan (SPS) di sini.

Menceritakan pengalaman beliau, selain pasaran tempatan, produk-produk yang dihasilkan turut dipasarkan di kawasan peneroka (felda) di Jengka, Pahang olehnya sendiri sebelum ini.

“Masa tu tahun 80-an dan kawasan peneroka terletak agak pendalaman sehinggakan susah untuk para penduduk mendapatkan bekalan ikan khususnya.

“Saya akan ke sana sebulan sekali dan meluangkan masa tiga hari untuk menjual produk-produk keluaran saya sendiri. Bagi memperluaskan pasaran sedia ada, saya juga mendekati peniagapeniaga runcit di sana (Jengka) untuk ‘menumpang’ jualan produk-produk berkenaan,’’ jelasnya yang sebelum ini pasaran produk beliau hanya tertumpu di pasar-pasar malam di Sungai Chenaam, Sungai Acheh, Sungai Kuala Haji Ibrahim, SPS.

IKAN gelama dan ikan duri yang direndam untuk dijadikan produk ikan kering.
IKAN gelama dan ikan
duri yang direndam
untuk dijadikan produk
ikan kering.

Tidak dinafikan, pada peringkat permulaan, peruncit-peruncit memberikan sambutan dingin kepada Abdul Hadi. Malah, beliau sering kali juga disindir.

“Kadang-kadang saya bawa ikan, mereka (peruncit) pandang pun tak mahu. Setelah puas tawar-menawar, tauke kedai hanya membenarkan saya meletak lima bungkusan ikan kering.

“Walaupun tidak memadai dengan penat lelah (memproses serta perjalanan ke Jengka), saya sabar dan tanpa disangka nilai kesabaran akhirnya membuahkan hasil apabila permintaan terhadap produk semakin meningkat dari semasa ke semasa,’’ ujar beliau yang dikurniakan tujuh cahaya mata.

Bagaimanapun, ekoran usia Abdul Hadi yang semakin meningkat, beliau terpaksa menghentikan ‘lawatannya’ ke Jengka. Kini, bekalan dihantar kepada seorang pembekal di Bukit Mertajam. Selain itu, produk ikan kering juga dihantar ke Kuala Lumpur, Perak dan lain-lain negeri oleh pihak ketiga.

RUPA bentuk ikan kering ketika dijemur.
RUPA bentuk ikan kering
ketika dijemur.

Mengulas lanjut mengenai penghasilan ikan kering, Abdul Hadi menjelaskan bahawa prosesnya adalah amat mudah. Langkah pertama adalah isi perut ikan-ikan yang bakal digunakan dibuang sebelum diletakkan garam. Ikan-ikan tersebut kemudian masing-masing direndam di dalam bekas khas dan dibasuh sebanyak tiga kali. Akhir sekali, ikan-ikan tersebut dijemur selama tiga hari.

“Saya tidak tiru resipi dari mana-mana. Saya tengok orang buat, saya cuba dan ia terus berhasil walaupun ia adalah cubaan pertama. Begitu juga dengan penghasilan belacan,’’ katanya sambil menjelaskan bahawa ikan yang digunakan adalah ikan gelama dan ikan duri.

Bagi Abdul Hadi, cabaran utama yang dihadapi dalam industri tersebut adalah pada musim hujan. Ini adalah kerana beliau tidak mempunyai modal yang cukup untuk mendapatkan ketuhar besar bagi tujuan pengeringan ikan – ikan berkenaan.

“Selain itu, saya juga menghadapi masalah logistik yang mana produk-produk dihasilkan tidak dapat dihantar ke lokasi-lokasi tertentu walaupun terdapat permintaan semasa,’’ kata beliau.

Abdul Hadi menjelaskan, permintaan terhadap produk ikan keringnya adalah tinggi, namun, beliau terpaksa redha bahawa penghasilan produk adalah bergantung sepenuhnya kepada bekalan ikan yang ditempah dari nelayan Sungai Udang, SPS.

“Perlu dijelaskan bahawa ikan kering adalah berlainan dengan ikan masin yang lebih lembab dan bergaram,’’ ujarnya lagi.

ABDUL Hadi Edar memasukkan bungkusan ikan kering yang dibeli ADUN Sungai Bakap, Maktar Shapee (tengah) sambil diperhatikan Pegawai Penyelaras KADUN Sungai Acheh, Mohd. Kamil Abu Bakar (kanan sekali).
ABDUL Hadi Edar memasukkan bungkusan ikan kering yang dibeli
ADUN Sungai Bakap, Maktar Shapee (tengah) sambil diperhatikan
Pegawai Penyelaras KADUN Sungai Acheh, Mohd. Kamil
Abu Bakar (kanan sekali).