Pengusaha industri sukan, kecergasan boleh mohon bantuan khas RM500 mulai 26 Februari

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 baru-baru ini antara lain turut meluluskan peruntukan sejumlah RM97,000 atau Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 seorang secara ‘one off’ untuk para penguasaha industri sukan dan kecergasan yang terjejas dek pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

SOON Lip Chee

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, para pengusaha tenpin boling, snuker, yoga, zumba, senam robik, futsal, badminton, senaman, gimnasium, sukan permotoran go-kart, paintball dan pengajaran sukan yang berdaftar dengan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh membuat semakan dan permohonan berwajib mulai 26 Februari hingga 15 Mac 2021.

“Pendaftaran untuk tujuan permohonan boleh dibuat menerusi sesawang Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di http://elesen.mbpp.gov.my dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di  http://bantuanrm500-covid.mbsp.gov.my.sukan.php.
“Bayaran akan dibuat dalam tempoh 16 Mac hingga 31 Mac kepada pengusaha yang layak dan berjaya membekalkan maklumat yang dikehendaki seperti butiran nama, nombor kad pengenalan, alamat surat-menyurat, nombor rujukan lesen, alamat perniagaan, tarikh tamat lesen dan penyata akaun bank.
“Pastikan nombor akaun bank yang disertakan semasa proses permohonan (secara dalam talian) adalah sama dengan nama pemohon,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal kepada pemberita di Komtar pada 26 Februari 2021.
Seberang penyertaan, menurutnya lagi, boleh hubungi Kaunter Jabatan Perlesenan menerusi talian 04-263 8818 (MBPP) dan 04-549 7685 (MBSP) pada hari Isnin hingga Jumaat, mulai 9:00 pagi hingga 5:00 petang.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Harry Chai Heng Hua (Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, MSNPP); Penolong Jurutera Kanan Bahagian Pelesenan MBPP, Mohamad Badri Zakaria; dan Pengarah Pelesenan MBSP, Mohd. Faidrol Mohd. Radzi turut sertai sidang media tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Lip Chee turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana dalam RM8.4 juta Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 turut merangkumi golongan yang terjejas dalam sektor industri sukan dan kecergasan di negeri ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD