Pengusaha komersial, industri diseru contohi model MBSP laksana penggunaan tenaga solar

Admin
ong jing cheng

SEBERANG JAYA – Pengusaha komersial dan industri di Seberang Perai disaran menjalinkan kerjasama dengan pemain industri tenaga solar bagi merealisasikan matlamat ke arah mencapai status Bandaraya Rendah Karbon.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ong Jing Cheng berkata inisiatif tersebut juga dapat membantu MBSP mencapai sasaran jangka pendek untuk menghasilkan 20 peratus tenaga elektrik daripada tenaga solar pada tahun 2025.

“Pengusaha komersial dan industri memerlukan kos awalan yang tinggi bagi pemasangan tenaga solar.

“Justeru, saya menyeru kepada pengusaha komersial serta pemain industri tenaga solar untuk merujuk model MBSP dalam melaksanakan penggunaan tenaga solar atau tenaga boleh diperbaharui.

“Inisiatif ini akan membolehkan pihak pengusaha komersial dan industri menjimatkan bil elektrik dan seterusnya mengurangkan kos.

“Selain itu, pemain industri tenaga solar juga boleh menjadi pelabur dan pembekal perkhidmatan pemasangan sistem tenaga solar untuk menghasilkan tenaga elektrik sambil mendapat keuntungan daripada memberi perkhidmatan tersebut,” katanya dalam Ucapan Penangguhan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP dipengerusikan oleh Datuk Bandarnya, Datuk Azhar Arsyad dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan bagi MBSP.

Mengulas lanjut, Jing Cheng memberitahu bahawa MBSP merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bagi pelaksanaan Supply Agreement Renewable Energy (SARE) bagi pengurangan karbon melalui penggunaan tenaga solar.

“SARE merupakan satu perjanjian antara Tenaga Nasional Berhad (TNB), GSPARX Sdn. Bhd. sebagai pelabur Solar PV Berdaftar (RPVI) dan MBSP sebagai pelanggan yang membolehkan pihak Majlis menikmati kadar elektrik lebih rendah berbanding tarif yang diwartakan.

“Melalui perjanjian ini, tiga bangunan MBSP telah dipilih iaitu Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek dengan anggaran penjimatan tahunan sebanyak RM15,400, Kompleks Sukan Jalan Betek (RM10,636) dan Kompleks Sukan Bertam (RM16,473).

“Selain daripada pemasangan solar panel di tiga bangunan, MBSP juga memasang 220 unit panel solar di bumbung tempat letak motosikal pekerja di Ibu Pejabat MBSP di Bandar dengan anggaran penjimatan berjumlah RM26,829.63 setahun.

“Cuba bayangkan, bangunan komersial seperti pusat membeli belah dan industri seperti kilang-kilang serta tempat letak kenderaan dan motosikal bangunan tersebut juga memasang panel solar seperti MBSP,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMMAD