Pengusaha, pengguna kenderaan mikromobiliti diseru patuhi undang-undang lalu lintas

Admin
431325372 842314144606804 7703324029237704973 n

PADA 17 Disember 2021, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mewartakan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (Kaedah) yang meletakkan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti seperti skuter elektrik atau e-skuter di atas jalan raya.

 

Larangan ini terpakai sekiranya didapati penunggang menggunakannya di jalan raya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain, lebih-lebih lagi apabila boleh menyebabkan berlakunya insiden tidak diingini seperti kemalangan.

 

Semalam, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengadakan Operasi Khas e-Skuter di sekitar George Town dalam usaha menghentikan aktiviti penyewaan e-skuter daripada operator atau pengusaha e-skuter tanpa lesen sah pihak berkuasa tempatan berkenaan.

 

Menurut MBPP, setakat hari ini, tiada sebarang lesen dikeluarkan bagi perniagaan penyewaan e-skuter ini.

 

“Pengusaha e-skuter telah berkali-kali diberikan amaran sebelum ini termasuk mengenakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBPP 1992 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

 

“(Dan) memandangkan pengusaha ini masih lagi meneruskan perniagaan, tindakan sita telah diambil kerana tidak mematuhi kehendak notis yang dikeluarkan oleh pihak Majlis (MBPP).

 

Aktiviti (sewaan e-skuter) juga telah mendatangkan kacau ganggu kepada penghuni dan juga orang awam yang mana sikap segelintir pelanggan yang menyewa e-skuter ini yang menunggang secara bahaya sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.

 

“Oleh itu, operasi yang dilaksanakan ini adalah untuk membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengekang penggunaan kenderaan mikromobiliti dengan pengendalian yang tidak selamat,” sebagai dipetik kenyataan MBPP hari ini.

 

MBPP turut menyarankan agar orang ramai mematuhi undang-undang lalu lintas memandangkan tindakan menunggang kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya boleh membahayakan nyawa penunggang dan juga pengguna jalan raya yang lain.

 

img 20230106 wa0018 ce9fae868e210d09a1ecdd8d171bfb3d
MOHD. Suhairi Arumugam Abdullah.

Ahli Majlis bagi MBPP, MOHD. SUHAIRI ARUMUGAM ABDULLAH ketika dihubungi memberitahu bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia bersama-sama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang mengkaji penggunaan kenderaan mikromobiliti terutama e-skuter di jalan raya.

 

“Buat masa sekarang belum ada keputusan lagi dan penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.

 

Penggunaan di atas jalan raya merupakan suatu kesalahan dan dilarang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana pihak PDRM boleh mengambil tindakan.

 

“Tambahan pula, penggunaan e-skuter misalnya, tidak diinsurankan dan menjadi sulit apabila berlaku kemalangan,” katanya.

 

Menurut Mohd. Suhairi Arumugam lagi, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan tindakan operasi membabitkan premis perniagaan sewaan tanpa lesen yang sah di sini.

 

Kepada orang ramai, saya sarankan supaya tidak menyewa dan menggunakannya (e-skuter) di jalan raya.

 

“Sekiranya ada pemilik persendirian kenderaan mikromobiliti ini, saya minta supaya mereka menggunakannya secara berhemah di laluan khusus yang telah disediakan iaitu laluan basikal seperti di Queensbay dan sekitar Bayan Baru.

 

“Dilarang sama sekali menggunakan e-skuter di jalan raya dan pihak MBPP tidak akan berkompromi dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan,” tegasnya.

 

Dalam pada itu, Buletin Mutiara turut berkesempatan mendapatkan pandangan orang awam berhubung perkara ini.

 

whatsapp image 2024 03 06 at 11.07.51 98813d5b
NUR Syafiqah Mohd. Jemmi.

NUR SYAFIQAH MOHD. JEMMI, 23, bersetuju bahawa penggunaan e-skuter  terutamanya yang tidak berlesen sangat berbahaya untuk digunakan di kawasan sekitar bandar George Town yang sesak kerana tiada jaminan sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

 

 Tindakan MBPP ini sangat wajar kerana dapat mengelakkan pengguna atau orang awam dari terus menggunakan sebarang kenderaan mikromobiliti yang tidak berlesen dan tidak sesuai digunakan di jalan raya yang sesak.

 

“Pengguna sepatutnya menggunakan e-skuter secara selamat, di jalan yang luas atau laluan yang disediakan khas seperti dataran dan bukannya jalan raya yang sibuk lalu lintas,” ulasnya.

 

whatsapp image 2024 03 06 at 12.18.06 488dbdec
MUHAMMAD Danial Hakim Rosli.

Bagi MUHAMMAD DANIAL HAKIM ROSLI, 25, beliau menyatakan bahawa penggunaan e-skuter di kawasan George Town boleh memberi manfaat kepada pengguna dan pelancong yang ingin menjelajah bandar ini dengan mudah dan cepat.

 

Walau bagaimanapun, beliau juga berpendapat bahawa penggunaan secara tidak sah dan berhemah boleh mendatangkan bahaya.

 

Saya tak menafikan penggunaan e-skuter yang tidak berlesen ini berbahaya, namun jika dilihat daripada sudut positif ia dapat dijadikan sebagai alternatif pengangkutan yang selamat, mesra alam dan berdaya saing.

 

“Oleh itu, saya berharap pihak MBPP boleh menyediakan garis panduan dan syarat yang jelas untuk mengawal selia penggunaan e-skuter di George Town,” katanya.

 

Berhubung warga asing yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen, Muhammad Danial Hakim menyarankan supaya tindakan undang-undang yang sewajarnya dapat dikenakan seperti denda, rampasan atau penahanan kerana tidak mematuhi syarat perniagaan.

 

whatsapp image 2024 03 06 at 12.30.29 958f4850
NURUL Sofia Mohd. Sukri.

Pelajar berusia 21 tahun,  NURUL SOFIA MOHD SUKRI, turut bersetuju bahawa pengguna e-skuter perlu lebih berhati-hati di jalan raya dan menunggangnya di tempat yang dibenarkan sahaja.

 

“Seperti yang kita tahu, kawasan bandar raya George Town agak sempit dan sesak.

 

 Saya pernah melihat pengguna e-skuter melanggar sisi sebuah kereta sehingga menyebabkan calar kerana laluan yang sempit dan tidak boleh memuatkannya.

 

“Kebanyakan pengguna e-skuter akan melulu pergi tanpa bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang pelanggaran dengan kenderaan lain seperti motor dan kereta dan ini akan menimbulkan kerugian kepada mangsa,” katanya menjelaskan situasi yang pernah dihadapinya.

 

Meninjau komen di laman Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang – MBPP, rata-rata netizen menzahirkan penghargaan atas tindakan proaktif MBPP dan berharap agar operasi sama dapat diteruskan secara konsisten demi menjamin keselamatan orang ramai.

 

Antaranya Jy Lee yang menarik nafas lega dengan tindakan advokasi pihak berkuasa tempatan itu.

 

“Sekurang-kurangnya sekarang ini saya boleh mengayuh basikal di kawasan tersebut tanpa perlu risau (kerana) penunggang e-skuter adakala keluar dari simpang secara melulu dan tiba-tiba,” katanya.

 

Ada juga yang meminta supaya MBPP memantau kawasan di sekitar Persiaran Karpal Singh.

 

“E-skuter di laluan pejalan kaki dan juga di jalan raya secara berbahaya terutama sekali (kepada) warga emas dan kanak-kanak,” kaya Cyndee Gan.

 

429587952 840130754825143 6836374113997213221 n
OPERASI Khas E-Skuter yang dilaksanakan pada 1 Mac lalu.

Terdahulu, pada 1 Mac lalu, MBPP telah merampas 25 buah e-skuter di sebuah premis yang menjalankan perniagaan sewaan tanpa lesen yang sah di tengah-tengah bandar raya George Town.

 

Operasi serupa turut dijalankan sebelum itu pada 16 Februari dan juga pada 5 Mac lalu yang mana MBPP menyerbu premis berkaitan dan merampas 56 buah kenderaan mikromobiliti.

 

Sebarang tindakan bagi kesalahan mengendalikan e-skuter secara berbahaya adalah di bawah bidang kuasa agensi yang diberi kuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Kenderaan mikromobiliti merupakan kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakar dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakar dalam atau kuasa manusia dan mempunyai kelajuan maksimum 50 km/j.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : MBPP