Pengusaha premis makanan digesa tingkatkan kebersihan elak tindakan undang-undang

Admin

JAWI – Semua pengusaha premis makanan di Seberang Perai digesa untuk meningkatkan tahap kebersihan premis masing-masing bagi mengelakkan daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pihaknya kini sedang melaksanakan kempen pendidikan kebersihan premis makanan bermula dari 31 Julai lalu hingga November ini dan penguatkuasaan pula akan dilaksanakan selepas tamat tempoh tersebut.

“Pada peringkat yang kita (MPSP) panggil peringkat pendidikan ini, kita sediakan senarai semak yang akan diserahkan kepada pengusaha untuk ditandatangani dan kita akan tanda mana-mana bahagian yang mereka patut dan sudah capai.

“Selepas dua minggu, Ahli Majlis atau wakil jabatan akan membuat pemeriksaan dan sekiranya peniaga atau pengusaha premis makanan tidak mengambil apa-apa tindakan (pembersihan, misalnya) kita akan kompaun.

“Kita juga akan tamatkan lesen dan tutup premis makanan bergantung kepada sejauhmana kesalahan yang mereka lakukan,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kebersihan Premis Makanan dekat Pasar Awam Taman Berjaya, di sini awal pagi ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MPSP, A’Ziss Zainal Abiddin; A. Johnson; Heng Yen Shuan; Ketua-ketua Jabatan serta para peniaga.

Mengulas lanjut, kata Rozali, fasa kedua iaitu peringkat penguatkuasaan yang akan bermula pada 3 Disember 2018 hingga 3 Februari 2019 melibatkan pemeriksaan ke atas premis-premis khususnya yang berada di dalam kategori Gred C.

“Dalam tempoh dua bulan itu, jika mereka masih tidak boleh mencapai tahap kebersihan mengikut syarat perlesenan khususnya melibatkan penyediaan makanan, tempat makan, tempat meletakkan makanan, maka kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kompaun atau sekiranya kesalahan itu serius kita akan tutup kedai.

“Walaupun sekarang MPSP ada kuasa untuk tutup kedai atau beri kompaun tapi kita masih mahu beri pendidikan kepada peniaga,” jelasnya lagi.

Tambahan pula, katanya, Pulau Pinang akan menjadi tumpuan dunia pada September ini sempena menganjuran Asia Pacific Masters Games (APGM) 2018 yang mana soal kebersihan makanan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan MPSP telah melaksanakan pemeriksaan dan penggredan ke atas 2,141 premis makanan di Seberang Perai bagi tempoh enam bulan iaitu Januari hingga Jun lalu.

Hasil pemeriksaan tersebut mendapati premis Gred A dan B masih lagi rendah iaitu hanya 38.39% atau bersamaan 822 premis sahaja manakala premis yang mendapat Gred C (61.61%) atau sebanyak 1,319 premis.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MPSP