Pengusaha Taska dan Tadika perlu patuhi SOP ketat – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Semua pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di negeri ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagaimana digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa adalah menjadi tanggungjawab pengusaha untuk memastikan keselamatan kanak-kanak sepanjang berada di bawah jagaan mereka.

“Kanak-kanak merupakan kumpulan yang berisiko dan kita (Kerajaan Negeri) berharap agar pengusaha Taska serta Tadika perlu memastikan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Chow Kon Yeow mendengar penenrangan daripada pengusaha Taska D’Komtar berhubung perjalanan operasi pusat jagaan kanak-kanak berkenaan semasa lawatan beliau sebentar tadi.

“Oleh itu, kita difahamkan dengan pematuhan SOP ini, Taska dan Tadika hanya boleh menerima bilangan kehadiran kanak-kanak yang terhad kerana perlu mematuhi jarak sosial selamat.

“Memandangkan jumlah kehadiran kanak-kanak adalah terhad, maka ibu bapa yang bekerja masih perlu mengatur perancangan sama ada mahu menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan atau terus bekerja dari rumah,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengadakan lawatan ke Taska D’Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa beliau menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan yang membenarkan Taska dan Tadika dibuka sepenuhnya mulai 1 Julai ini.

“Justeru, kita juga berharap agar semua pusat jagaan kanak-kanak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh mulai 1 Julai ini memandangkan ia merupakan perkhidmatan perlu (essential) bagi ibu bapa yang bekerja.

“Hanya dengan kapasiti penuh sahaja keadaan akan kembali seperti biasa dan ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan.

“Walau bagaimanapun, kita sedang menunggu pengumuman lanjut daripada kerajaan untuk membenarkan pusat jagaan kanak-kanak beroperasi dengan kapasiti penuh,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa prasekolah dan Tadika bakal dibuka sepenuhnya mulai 1 Julai ini dan tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

V. Philomena

Sementara itu, pengusaha Taska D’Komtar, V. Philomena ketika ditemui memberitahu bahawa pihaknya hanya menerima kehadiran maksimum 15 kanak-kanak sahaja pada satu hari sejak pusat jagaan kanak-kanak itu dibuka mulai 1 Jun lalu.

“Memandangkan kita perlu mematuhi SOP yang ketat maka kita benarkan hanya maksimum 15 orang kanak-kanak pada satu hari,” ulasnya.

Difahamkan, sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Taska D’Komtar menerima kehadiran 30 kanak-kanak di pusat jagaan berkaitan yang dibantu oleh tujuh kakitangan sepanjang waktu operasi dari jam 6 pagi hingga 7 petang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN