Peniaga di Pulau Pinang nikmati pengecualian sewa purata 50 peratus – Exco  

Admin

BATU UBAN – Purata 50 peratus penyewa premis perniagaan di negeri ini menikmati pengecualian bayaran sewa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

 

Justeru, Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain menyeru agar lebih banyak pemilik premis swasta memberikan mengecualikan bayaran sewa kepada peniaga-peniaga yang terjejas akibat penularan COVID-19.

 

“Bagi peringkat negeri, saya difahamkan purata 50 peratus penyewa yang terjeas menikmati kadar pengecualian ini.

 

“Melalui kaji selidik awal yang dilakukan juga mendapati, ada peniaga yang mendapat diskaun 30 hingga 70 peratus, tidak kurang juga yang dapat 100 peratus penyecualian bayaran sewa dan mereka cuma perlu membayar yuran penyelenggaraan sahaja,” ujar beliau ketika melakukan lawatan ke Kompleks Bukit Jambul baru-baru ini.

 

 

Hadir sama, Pengerusi JMB Kompleks Bukit Jambul, K.H Chan, pengurusan tertingggi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kompleks Bukit Jambul dan wakil-wakil penyewa dan pemilik premis di kompleks tersebut.

 

 

 

Dalam pada itu, Abdul Halim turut memuji tindakan pihak JMB Kompleks Bukit Jambul yang memberikan pengecualian sewa kepada kira-kira 400 peniaga di kompleks berkenaan.

 

 

 

Selain itu, katanya beliau amat berpuas hati terhadap persediaan kompleks terbabit beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

 

“Dalam merancakkan kembali ekonomi, Kerajaan Negeri baru-baru ini turut meluluskan pakej kesinambungan perniagaan kepada 1,631 peniaga melibatkan RM30 juta.

 

 

“Dengan pematuhan SOP, pengunjung akan rasa selamat, barulah mereka akan berkunjung ke sini dan ekonomi negeri akan kembali aktif,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

 

 

Sementara itu, K.H Chan ketika bercakap kepada pemberita memberitahu bahawa pengecualian sewa diberikan peniaga adalalah melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM1 juta.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD