Peniaga kecil di luar skim pembangunan boleh mohon permit perniagaan sementara – Rozali

Admin

SEBERANG JAYA – Semua peniaga kecil yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di luar skim pembangunan khususnya di kawasan kampung kini boleh membuat permohonan permit perniagaan sementara daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa sehingga kini terdapat 318 peniaga kecil yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran di premis kediaman masing-masing atau dengan membina struktur bangunan sementara.

“MBSP akan melaksanakan program untuk melesenkan peniaga-peniaga di luar skim pembangunan yang menjalankan aktiviti perniagaan kecil-kecilan tidak berisiko seperti kedai gunting rambut, salun, kedai runcit dan lain-lain.

“Tujuan program ini adalah untuk membantu pengusaha, peniaga kecil dan penduduk tempatan di Seberang Perai mendapatkan kelulusan permit bangunan serta lesen perniagaan supaya ia lebih terkawal.

“Ini kerana sebelum ini kita (MBSP) tidak benarkan mereka berniaga di luar kawasan perniagaan yang dibenarkan seperti skim perdagangan, perumahan atau kawasan industri.

“Namun, disebabkan penularan COVID-19, MBSP lebih prihatin dan berusaha untuk memberi peluang kepada penduduk mencari peluang perniagaan yang selesa, diiktiraf dan dilesenkan,” katanya pada sidang media secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Ke-7/2021 dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.

Turut serta, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli-ahli Majlis; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Tambah Rozali, melalui program tersebut MBSP akan mengeluarkan permit sementara berbentuk tahunan yang mana kaedahnya lebih mudah berbanding permohonan pelan bangunan dan permohonan pelan merancang.

“Misalnya, jika bangunan itu adalah kediaman sedia ada yang mana mereka duduk di bahagian atas atau belakang, maka bahagian depan boleh digunakan sebagai premis perniagaan tanpa perlu mengemukakan kebenaran merancang sebaliknya hanya memohon permit sementara bangunan.

“Ini bermakna pemilik bangunan atau mereka yang mahu membina bangunan sementara hanya perlu lakar sendiri pelan bangunan sahaja dan hantar kepada Jabatan Bangunan melalui kaunter OSC tanpa perlu melalui arkitek atau pelukis pelan.

“Tindakan ini masih selari dengan Seksyen 19(2) Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam, UKBS 1986, iaitu permit sementara boleh dikeluarkan MBSP bagi mendirikan sesuatu bangunan sementara tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa peniaga perlu mengemukakan permohonan permit sementara bangunan terlebih dahulu sebelum memohon lesen perniagaan daripada MBSP.

“Pemohon perlu melengkapkan borang permohonan permit dengan mengemukakan dokumen berkaitan seperti yang dinyatakan kepada Pusat Sehenti Setempat (OSC) di kaunter berpusat MBSP dekat Menara Bandaraya, Bandar Perda.

“Oleh itu, pemohon yang mendapat kelulusan permit sementara bangunan perlu membuat permohonan lesen dan mengemukakan bersama-sama kelulusan permit sementara dan proses pengeluaran lesen kekal akan dibuat kepada pemohon,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR