Peniaga makanan dan minuman rayu waktu perniagaan diawalkan, alami kerugian

Admin

PANTAI JEREJAK – Para responden di Kompleks Makanan Awam Bayan Baru yang terdiri daripada peniaga sarapan pagi rayu Majlis Keselamatan Negara (MKN) kaji semula kebenaran operasi perniagaan bermula jam 8 pagi yang berkuat kuasa hari ini.

 

Rata-rata peniaga disitu memberitahu perniagaan mereka terkesan lebih daripada 50 peratus ekoran larangan beroperasi lebih awal dari waktu ditetapkan.

Peniaga nasi lemak, FARIDAH SHAMSUDDIN, 58, memaklumkan sebelum ini kedai beliau pernah dibuka seawal jam 5 pagi demi memenuhi permintaan pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada pekerja kilang.

 

“Saya berniaga nasi lemak tidak sama macam nasi campur, nasi lemak perlu berniaga awal, lagi pun rata-rata pelanggan adalah pekerja syif di kilang.

 

“Pelanggan awal biasanya baru nak ke tempat kerja, lewat sikit yang balik kerja malam… macam nak menangis bila kena buka kedai pukul 8 pagi kerana lebih separuh pelanggan hilang,” ujarnya yang sudah berniaga di situ selama 10 tahun.


Tambah Faridah, walaupun beroperasi lebih awal sebelum ini, pengunjung masih patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan baik.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penjaja Kompleks Makanan Awam Bayan Baru, Ang Poh Huat menyifatkan pembukaan kedai jam 8 pagi tidak masuk akal.


“Saya seru kerajaan supaya kaji semula, bisnes kami keseluruhannya merosot teruk, ramai penjaja mengeluh kehilangan pelanggan waktu pagi,” jelas beliau kepada Buletin Mutiara yang melakukan tinjauan ke kompleks makanan tersebut pagi tadi.

 

Terdahulu, pada 22 Mei lalu Kerajaan Persekutuan melalui MKN telah bersetuju untuk mengetatkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sedia ada bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 dengan menetapkan operasi perniagaan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

Bagi peniaga minuman, A. RAJAMALAI, 59, menegaskan perniagaan beliau turut terjejas ekoran arahan terbaharu itu.


“Bukan sahaja makanan, saya yang meniaga air pun sama, turut terjejas teruk tidak ada pelanggan kerana dah lewat semua sudah pergi kerja,” katanya yang juga merupakan seorang ibu tunggal.

Manakala pemilik premis Kuih Station, AFANDI PUTEH, 58, berharap agar kerajaan menggunakan budi bicara agar membenarkan premis makanan dan minuman beroperasi lebih awal.

 

“Kita akur arahan, harap perkara ini dikaji semula, benarkan jualan lebih awal, pelanggan senang peniaga pun senang.


“Kami datang awal untuk buka kedai, ada yang singgah nak membeli namun memang tidak boleh jual sebab ikut arahan, tambahan ada pemantauan pihak berkuasa,” jelasnya lagi.

Pemilik Mai Ceduk Nasi Lemak, MOHD. REJAB ABU BAKAR, 43 dalam pada itu memberitahu, tindakan memotong gaji pekerja mungkin terpaksa dilakukan akibat perubahan waktu tersebut.


“Saya sudah maklumkan kepada pekerja-pekerja saya mengenai hal ini akibat penurunan mendadak jualan hari ini.


“Kebiasaan buka pukul 5 pagi kerana ada kilang yang mula syif pagi seawal jam 6 pagi… bila ke kantin, kantin pula belum buka, jadi pekerja pun alami kesukaran, itu rungutan mereka kepada saya,” katanya lagi.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI