Peniaga pasar malam boleh terus kelangsungan perniagaan di Kompleks Makanan dan Pasar, TPS MBPP secara percuma

Admin

GEORGE TOWN – Seramai lebih 700 peniaga pasar malam di kawasan pulau kini boleh menghela nafas lega apabila Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membenarkan mereka untuk meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing di dalam Kompleks Makanan dan Pasar serta Tapak Penjaja Sementara (TPS) secara percuma.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata bahawa inisiatif itu diambil kerana menyedari kesengsaraan yang dihadapi golongan peniaga pasar malam yang tidak dibenarkan berniaga dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu.

Jelasnya, MBPP telah menerima kira-kira 143 permohonan sejak tawaran tersebut dibuka semalam.

“Menyedari kesusahan dan kesengsaraan mereka yang tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa, maka kita (MBPP) kini dalam proses untuk meringankan sekali gus membantu mereka dengan menawarkan gerai-gerai kosong untuk diisi.

“Mereka (penjaja pasar malam) akan dibenarkan meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing di dalam Kompleks Makanan dan Pasar serta TPS di bawah kendalian Majlis secara percuma kerana rata-ratanya (kompleks makanan dan TPS) dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Terdapat 601 kekosongan gerai di seluruh kawasan pulau, dan pengoperasian perniagaan mestilah mengikut SOP dan masa lokasi kompleks tersebut beroperasi. Permohonan ini dibuka kepada semua penjaja pasar malam yang berlesen di bawah MBPP,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) sebentar tadi.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Dalam perkembangan sama, Tung Seang juga memaklumkan bahawa bagi mengurangkan beban golongan berkaitan, Majlis telah bersetuju untuk mengecualikan bayaran permit bulanan pasar malam kepada 39 penganjur pasar malam berdaftar di bawah Majlis.

Dalam pada itu, Tung Seang sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya sentiasa terbuka untuk membantu mana-mana peniaga ataupun penjaja untuk melakukan jualan menerusi platform dalam talian iaitu di Jom Beli Online (JBO@MBPP).

“Kita (MBPP) akan bantu mereka daripada segi bagaimana mereka hendak menjual melalui platform yang tersedia ini ataupun melalukan perniagaan di rumah,” tambahnya.

Bagi peniaga pasar malam yang ingin berniaga di Kompleks Makanan dan Pasar atau TPS, sila berdaftar di laman sesawang https://jbo.mbpp.gov.my.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MBPP