Lambakan kenderaan atas jalan raya seolah-olah PKP 3 ‘longgar’, kata responden

SEBERANG JAYA – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini mengumumkan senarai sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat, sungguhpun negara menempuhi tempoh lanjutan Fasa 3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3) sehingga 28 April 2020.

Impak berantai daripada langkah kementerian tersebut antaranya menyaksikan lambakan kenderaan pada waktu puncak sebelah pagi tadi kembali meningkat.

Seolah-olah PKP 3 yang bermula pada hari ini tidak diperketatkan sebagaimana dihasratkan oleh Kerajaan Persekutuan sendiri.

SEORANG anggota polisi, diiringi seorang tentera kelihatan mendapatkan maklum balas lanjut daripada seorang pemandu kereta demi memastikan pelaksanaan PKP 3 yang sepatutnya kian ketat bermula pada hari ini berjaya, di sini pada pagi tadi.

Tinjauan umum pada pagi tadi menyaksikan rata-rata responden seakan-akan keliru dengan langkah MITI membenarkan sektor-sektor tertentu beroperasi, yang dianggap boleh menggagalkan usaha-usaha pelbagai pihak, sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu, demi memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19.

FONG Wut Kong.

Fong Wut Kong, 58, seorang penjaja kecil di Pasar Awam Sementara Seberang Jaya berkata, beliau begitu terkejut dengan berita lambakan kenderaan di jalan-jalan raya tertentu, selepas sektor-sektor tambahan tertentu dibenarkan beroperasi.

Pun begitu, beliau memberitahu bahawa lambakan kenderaan sekitar kawasan Butterworth pada pagi tidak begitu ketara, mungkin disebabkan sektor-sektor tertentu belum mendapat kebenaran berwajib untuk kembali beroperasi, kini.

“Keadaan (trafik) di sekitar Butterworth masih terkawal lagi, tetapi, kalau kerajaan boleh mengetatkan lagi (pelaksanaan PKP) adalah lebih baik.

“PKP 3 mulai hari ini (15 April 2020) memang bukan ‘main-main’, lebih ramai orang keluar rumah, risiko untuk ramai dijangkiti COVID-19 adalah lebih tinggi,” jelasnya ketika ditemui di sini pada awal pagi tadi.

10 April lalu, MITI mengumumkan senarai sektor tambahan yang dibenarkan untuk kembali beroperasi dengan syarat-syarat pematuhan PKP, jika dimohon oleh pihak berkenaan untuk pertimbangan kelulusan lanjut.

Sektor-sektor tersebut, antaranya industri automotif terhad pada unit siap pasang; mesin dan peralatan; aeroangkasa; projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan; projek-projek yang disahkan mencapai 90 peratus tahap kemajuan fizikal; kerja-kerja terowong, penyelenggaran dan cerun; perkhidmatan profesional terpilih; perkhidmatan sains dan penyelidikan, sektor kesihatan sosial dan dobi.

Walau bagaimanapun, kebenaran operasi kedai gunting rambut ditarik kembali setelah mendapat reaksi bantahan yang meluas daripada pelbagai pihak dan warganet.

N. Sugan.

Mengulas lanjut, seorang pengurus firma bukan kerajaan, N. Sugan, 38, memberitahu bahawa lambakan kenderaan atas jalan pada waktu puncak kembali dilihat begitu ketara mungkin disebabkan syarikat-syarikat kembali dibenarkan beroperasi, kini.

“Kereta banyak atas jalan ini, salah satu isunya kerana banyak syarikat beroperasi terutama di kawasan Perai dan bahagian Pulau, begitu banyak syarikat beroperasi dalam satu-satu kawasan.

“Apabila syarikat-syarikat kembali beroperasi, para pekerja yang sebelum ini duduk di rumah, terpaksa pergi kerja juga.

“Begitu juga jalan ke pasar awam, seperti di sini (Seberang Jaya), ramai yang terpaksa keluar pada waktu pagi untuk membeli barang keperluan rumah, (maka, menyumbang pada) banyak kereta atas jalan raya juga.

“Bagi saya lagi, sebab paling utama banyak kenderaan atas jalan raya kerana ramai orang kembali pergi kerja,” respons beliau.

Justeru, beliau bimbang langkah membenarkan sektor-sektor tambahan akan menjejaskan matlamat PKP iaitu untuk memutuskan semua rantaian perebakan wabak.

“(Langkah MITI meluluskan operasi sektor-sektor tambahan) kemungkinan akan menjejaskan juga pelaksanaan PKP.

“Contoh seperti negara-negara tertentu, apabila dilonggarkan kembali (PKP), akhirnya ada rekod baharu rebakan wabak.

“Jadi, fasa ketiga (PKP) yang patut ketat, sepatutnya diperketatkan lagi.

“Pihak Kerajaan kena tingkatkan kawalan ke atas sektor pekerja kerana syarikat-syarikat masih beroperasi, kena nilai semula sama ada syarikat-syarikat ini boleh terus beroperasi atau perlu hentikan (operasi bagi sepanjang tempoh PKP),” jelasnya lagi.

Difahamkan, hanya sektor-sektor penting dan kritikal sahaja dikecualikan daripada PKP, sejak 18 Mac 2020.

Sektor-sektor yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika itu adalah air, elektrik, tenaga, komunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, pelaburan, penjara, lapangan terbang, keselamatan, pembersihan, pertahanan, peruncitan dan bekalan makanan.

Kesemua sektor ini dibenarkan beroperasi secara terhad, dengan mengamalkan jarak sosial, pakai pelitup muka atau pelindung muka, kerap sanitasi tangan dan sebagainya.

HALIMAH Elias.

Sementara itu, Halimah Elias, 63, seorang suri rumah memberitahu sangat tidak wajar apabila menyaksikan lambakan kenderaan begitu ketara ketika PKP menempuhi fasa ketiga pelaksanaan.

“Sangat tidak wajarlah…saya memang tak setuju (sektor-sektor tambahan dibenarkan beroperasi ketika PKP).

“Apabila fasa ketiga PKP diperketatkan, patut lebih ramai tidak dibenarkan duduk di luar rumah, semua perlu berada di rumah masing-masing.

“Saya lihat kelmarin, keadaan (trafik) sesak adalah seperti biasa, semacam tiada PKP.

“Polis patut ketatkan lagi sekatan jalan raya, itu baru saya setuju.

“Saya memang setuju langkah Kerajaan buat PKP ini, diperketatkan lagi pelaksaaan, supaya wabak ini benar-benar dapat dikawal,” jelasnya.

Tambah beliau, ketika COVID-19, paling penting adalah menjaga tiap-tiap nyawa daripada risiko jangkitan yang memang boleh membawa pada kematian.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD
Video: AHMAD ADIL MUHAMAD