Peningkatan angka unit hartanah tidak terjual Pulau Pinang hampir sembilan kali ganda lebih rendah berbanding Johor

GEORGE TOWN –  Peningkatan angka unit hartanah seperti rumah mampu milik (RMM), pejabat kecil pejabat rumah (SOHO), pangsapuri kuarters penjawat awam (SA) tidak terjual di Pulau Pinang kini sebenarnya hampir sembilan kali ganda lebih rendah berbanding negeri Johor.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancang Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian ketika mengulas laporan berita “Higher overhang unsold completed residential properties increase by 48%” yang disiarkan dalam akhbar harian berbahasa Inggeris bertarikh 24 Disember lalu.

Menurut beliau, jumlah unit hartanah tidak terjual pada suku ketiga (Q3) tahun 2017 di Johor hanya 3,901 unit; angka itu melonjak sebanyak 13,767 unit bagi tempoh sama pada Q3 2018; dengan angka peningkatan sebanyak 9,866 unit sahaja.

Sebaliknya, tambah Jagdeep, unit hartanah tidak terjual dalam tempoh sama bagi tahun 2017 di Pulau Pinang adalah 2,271 unit; bertambah pada angka 3,445 unit sahaja bagi tahun ini; dengan angka peningkatan hanya 1,174 unit sahaja.

Maka jelas beliau, angka peningkatan unit hartanah mengikut tahun di Pulau Pinang adalah hampir sembilan kali ganda lebih rendah berbanding negeri Johor.

“Dalam laporan The Star menunjukkan Pulau Pinang di kedudukan ketiga paling tinggi (dari segi unit hartanah tidak terjual)…maksudnya jumlah unit hartanah tidak terjual di Pulau Pinang hampir sembilan kali ganda lebih rendah berbanding negeri Johor.

“Ini adalah berita yang begitu mengembirakan, iaitu kejayaan menguruskan dan mengawal jumlah unit (hartanah) tidak terjual.

“Saya yakin kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) dapat melakukan sesuatu yang lebih baik lagi pada tahun 2019.

“Dan, saya sangat yakin Pulau Pinang dapat melakukan sesuatu yang lebih baik lagi apabila memberi perhatian lebih pada sektor perumahan ini, dengan pelaksanaan program rumah mampu milik (RMM) yang begitu berjaya di negeri ini,” ujar Jagdeep dalam sidang media di Komtar pada 31 Disember 2018.

Hadir sama, beberapa pemimpin Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) kerana masing-masing terus menyatakan komitmen untuk memastikan rakyat di negeri ini dibantu dalam membeli rumah pertama mereka.

Terdahulu, akhbar berbahasa Inggeris berkaitan pada 24 Disember lalu melaporkan jumlah unit hartanah tidak terjual di Pulau Pinang pada Q3 2018 berada di kedudukan ketiga tertinggi selepas Johor dan Selangor, sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di kedudukan keempat.

Laporan itu menggamit respons lanjut daripada Jagdeep, yang juga Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG