Peningkatan caj kompaun 50 peratus galak pengguna selesai kompaun secepat mungkin

Admin
AR. Yew Tung Seang.

PADANG KOTA – Pengguna yang gagal menjelaskan kompaun yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam tempoh 45 hari bakal berhadapan dengan peningkatan caj sebanyak 50 peratus bermula 19 Ogos ini.

 

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) berkata bahawa langkah tersebut diambil demi menggalakkan orang ramai menyelesaikan caj kompaun secepat mungkin.

 

“Kompaun perlu diselesaikan secepat mungkin, sekiranya lebih daripada 45 hari dari tarikh ia (kompaun) diisu, caj tambahan sebanyak 50 peratus akan dikenakan.

 

“Tujuannya adalah kita (Majlis) tidak mahu kelewatan pembayaran dan sekiranya melibatkan tindakan mahkamah, ia akan mengambil masa agak panjang.

 

“Tetapi kepada yang membayarnya dalam tempoh 14 hari, Majlis juga akan tolak 50 peratus dari jumlah kompaun asal yang dikenakan,” jelasnya.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahli-ahli Majlis serta Ketua-ketua Jabatan bagi MBPP.

 

Pada sidang media sama, Tung Seang turut mengumumkan bahawa berkuat kuasa pada 1 Ogos ini, semua parkir di bahu jalan dekat kawasan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas  akan menggunakan sistem kupon.

 

“Kutipan bayaran parkir ini dijalankan diseluruh pulau, ini bukan untuk membebankan pengguna sebaliknya persediaan untuk pemasangan sistem parkir pintar, dan mengumpul data bagi ciri-ciri pintar ini.

 

“Kami (MBPP) memang ada menerima aduan dari Invest Penang (iP) dan FMM (Federation of Malaysian Manufactures) mengenai isu ini (parkir kupon) dan kita akan adakan perbincangan lanjut  mengenainya,” ujarnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD