Peningkatan kes COVID-19 kerana ambil kira keputusan ujian RTK-Antigen

GEORGE TOWN – Peningkatan ketara kes baru jangkitan COVID-19 di negeri ini sejak beberapa hari lalu adalah ekoran Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengambil kira keputusan saringan RTK-Antigen dalam menentukan statistik kes.

Pengarah JKNPP, Datuk Dr. Asmayani Khalib berkata bahawa langkah tersebut diambil selepas mengambil kira kadar positiviti di negeri ini telah melebihi 10 peratus.

Menurut beliau, langkah itu juga adalah bertujuan untuk mengenal pasti mereka yang dijangkiti dan seterusnya diarahkan menjalani kuarantin secepat mungkin bagi mengelakkan kes jangkitan meningkat lebih tinggi.

“Mengambil kira keadaan ini, kita (JKNPP) telah memohon kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengambil kira keputusan ujian RTK-Antigen sebagai statistik kes positif dan cadangan telah dipersetujui.

“Ini bermakna, sekiranya saringan mendapati positif, maka kes akan dilaporkan sebagai statistik bilangan kes dan tidak perlu lagi menunggu keputusan Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“(Dan) apabila kadar positiviti kurang daripada 10 peratus, maka barulah JKNPP akan kembali menggunakan protokol asal iaitu dengan mengambil kira ujian RT-PCR sebagai statistik bilangan kes,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), Kompleks Masyarakat Penyayang di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar serta wakil-wakil agensi berkaitan.

Tambah Asmayani, kes baru jangkitan COVID-19 yang direkodkan hari ini di Pulau Pinang adalah sebanyak 1,867 dan merupakan yang tertinggi sejak pandemik melanda negara.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,257 adalah kes positif yang dikesan melalui ujian saringan RTK-Antigen.

“Kebanyakan kes yang dikenal pasti pula adalah datangnya daripada kluster kilang, aktiviti saringan bergejala serta kes sporadik yang dikesan melalui ujian saringan yang dijalankan,” ulasnya.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak daripada dijangkiti.

“Marilah bersama-sama JKNPP untuk melawan penularan pandemik COVID-19 ini,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD