Peningkatan kes COVID-19, MBSP dan MBPP tingkat penguatkuasaan pastikan rakyat patuhi SOP

SEBERANG JAYA: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertindak meningkatkan langkah penguatkuasaan dan pemantauan dalam usaha memerangi penularan pandemik COVID-19.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata ekoran peningkatan mendadak kes baru COVID-19, pihaknya merangka lapan pelan tindakan baru bagi memastikan rakyat di negeri ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, bermula 6 Oktober lalu, MBSP telah menambah kekuatan petugas untuk memantau pematuhan SOP di semua pasar awam di Seberang Perai iaitu daripada tiga anggota sebelum ini kepada enam orang anggota.

Sr. Rozali Mohamud ketika ditemui Buletin Mutiara semalam.

“MBSP juga akan menjalankan operasi bersepadu bersama-sama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

“Operasi bersepadu lebih berkesan kerana PDRM serta KKM mempunyai bidang kuasa masing-masing dan sekiranya kita lakukan operasi bersendirian maka kita tidak boleh melaksanakan kuasa yang ada pada kedua-dua agensi ini.

“Hanya PDRM berkuasa mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada mereka yang melanggar SOP, manakala KKM pula berkuasa menutup premis dan MBSP mempunyai kuasa untuk menggantung lesen pemilik premis,” ujarnya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui semalam.

Selain itu, kata Rozali, MBSP juga giat mengedarkan risalah bagi penganjuran pasar malam, pasar tani dan pasar pagi kepada jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan SOP.

Ar. Yew Tung Seang.

“Sebelum ini kita sudah edarkan risalah-risalah berkaitan SOP tetapi memandangkan sudah beberapa bulan berlalu mungkin sudah ada yang lupa atau mengambil mudah tentang aspek ini.

“Jadi, apabila berlaku gelombang baru (COVID-19), kita mahu memperingatkan semula kepada penganjur-penganjur pasar malam, pasar tani dan sebagainya mengenai pematuhan SOP mulai semalam iaitu 7 Oktober 2020,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa penganjuran The Nine Emperor Gods Festival yang bakal berlangsung pada 18 hingga 26 Oktober ini masih dibenarkan tetapi dengan pematuhan SOP yang sangat ketat.

“Sekiranya berlaku kesesakan didalam gerai perlulah dikawal oleh peniaga atau dengan melantik RELA atau agensi-agensi lain,” ulasnya.

Katanya lagi, MBSP juga menjalankan penguatkuasaan sejak 18 Mac lalu yang mana 23 premis di Seberang Perai telah diarahkan tutup termasuk pasar malam, pasar pagi, pusat hiburan dan sebagainya kerana didapati tidak mematuhi SOP.

Penguatkuasaan dan pemantauan pelaksanaan SOP masih giat dijalankan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan di negeri ini.

“Apa yang saya hendak tekankan di sini adalah MBSP akan mengambil tindakan tegas kepada pengunjung dan pengusaha yang tidak mematuhi SOP,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memaklumkan bahawa sebanyak 573,632 pemeriksaan dijalankan yang mana sehingga 6 Oktober 2020 purata pematuhan adalah 99.34 peratus atau 569,822 premis.

“Bagi pematuhan pemakaian pelitup muka dalam kalangan pengunjung dan peniaga di pasar-pasar awam yang menjadi tumpuan pula mencapai 100 peratus.

“Sejak 1 Ogos lalu, seramai 379,082 pekerja dan pengunjung di pelbagai premis diperiksa yang mana sebanyak 371,707 atau 98.05 peratus mematuhi arahan pemakaian pelitup muka manakala 1.95 peratus atau 7,375 tidak patuh dan telah diberi amaran lisan,” jelasnnya.

Pada 6 Oktober lalu, jumlah kes positif COVID-19 yang dicatatkan di negara ini meningkat kepada 691 dan merupakan angka harian tertinggi yang direkodkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Namun, dalam pengumuman terbaru Perdana Menteri pada hari yang sama antara lain memberitahu bahawa kerajaan tidak bercadang untuk pelaksanaan semula PKP demi memutuskan semua rantaian perebakan wabak tersebut.

Justeru, Rozali menasihati penduduk di Seberang Perai agar tidak mudah panik tetapi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Pemantauan pematuhan SOP turut melibatkan bantuan RELA.

“Jangan anggap bahawa SOP itu menyusahkan kita kerana semua orang perlu memikulnya sebagai tanggungjawab sosial bersama,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang ketika dihubungi memberitahu bahawa pihaknya akan mengambil tindakan tegas dengan bertindak menutup mana-mana premis yang melanggar SOP secara serius.

“Sekiranya mereka mengulangi kesalahan yang sama, kami akan membatalkan lesen mereka,” tegasnya lagi.

Tung Seang berkata, beliau juga telah mengarahkan mana-mana kakitangannya yang pulang dari Sabah untuk tidak menyertai sebarang aktiviti atau mesyuarat dan hanya disarankan menyertai perjumpaan secara maya sahaja.

Difahamkan, sehingga 6 Oktober lalu, MBPP telah menjalankan 343,270 pemeriksaan yang mana tahap pematuhan adalah sebanyak 99.66 manakala 13 premis yang tidak mematuhi SOP telah diarahkan tutup.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS