Peningkatan kes jenayah siber, langkah komprehensif sedang diambil

GEORGE TOWN – Statistik kes jenayah di Pulau Pinang direkodkan menurun sebanyak 33 peratus pada tempoh 18 Mac hingga 18 September 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu dipercayai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa meskipun kadar jenayah menunjukkan penurunan dalam tempoh tersebut, namun terdapat peningkatan trend jenayah komersial dan siber di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa Pulau Pinang mencatatkan 384 kes atau 50.7 peratus peningkatan kes jenayah berkaitan pada tempoh 18 Mac hingga 18 September 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu yang mana sebahagian besarnya adalah melibatkan penipuan penjualan pelitup muka dalam talian pada tempoh awal PKP dilaksanakan.

“Saya difahamkan bahawa langkah-langkah komprehensif serta lebih serius sedang diambil untuk meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangkap suspek serta meningkatkan kadar tuduhan sedia ada.

“Pelaksanaan PKP telah membataskan pergerakan semua, namun ia membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas situasi semasa.

“Di pihak Kerajaan Negeri, selain terpaksa ‘berperang’ memerangi penularan pandemik COVID-19, pada masa sama, kita (Kerajaan Negeri) juga perlu mengurus serta menangani ‘virus berita palsu’ yang tular… semua berita palsu ini perlu diuruskan sebaik mungkin agar tidak mencetuskan situasi panik dalam kalangan masyarakat di negeri ini khususnya.

“Malah, Kerajaan Negeri bersyukur kerana masih mampu menyampaikan maklumat secara berkesan kepada rakyat hasil kerjasama semua pihak,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada sesi townhall Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi MCPF Pulau Pinang, Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali; Tan Sri Lee Lam Thye (Naib Pengerusi Kanan MCPF Malaysia); Dato’ Sahabudin Abd. Manan (Ketua Polis Pulau Pinang); Dr. Asmayani Khalib (Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, JKNPP); Prof. Madya Datuk Dr. P. Sundramorthy (Criminologist Universiti Sains Malaysia, USM) dan M. Kaleessvaran Manikam (Pengerusi Penganjur).

Mengangkat tema ‘Impak dan keberkesanan strategi kepolisian yang dilaksanakan oleh pasukan polis serta agensi pelaksanaan undang-undang atau frontliners semasa pandemik COVID-19’, sesi tersebut dianjurkan secara bersama oleh MCPF Pulau Pinang dengan Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pulau Pinang dan Unit Integriti USM.

Bercakap pada sesi sidang media, Lam Thye turut menyokong fakta dikemukakan Kon Yeow, dan situasi tersebut turut menimbulkan kerisauan kepada pihak MCPF kebangsaan.

Menurut beliau, kadar indeks jenayah siber menunjukkan bahawa pada tahun 2018, sejumlah 10,754 kes jenayah siber dilaporkan, 2019 (11,875) dan Januari hingga Julai 2020 (9,146).

“Jumlah kerugian yang dicatatkan pada tahun 2019 adalah RM305 juta, manakala RM247 juta (tahun 2020) akibat daripada perlakuan jenayah siber ini. Serentak itu, pihak SKMM melaporkan bahawa ketika pelaksanaan PKP (18 Mac hingga 20 Jun 2020), lebih 80 peratus kes jenayah siber meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Adalah ditegaskan bahawa MCPF memandang serius hal ini, dan kita (MCPF) akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Jenayah Siber yang lebih holistik melibatkan PDRM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat telekomunikasi, CyberSecurity Malaysia dan MCPF bagi memantau serta berbincang untuk mencari langkah lebih berkesan ke arah pencegahannya,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video: CHAN KOK KUAN