Peningkatan penyertaan Penang Souq Ramadan Bazaar 2019 bukti aspirasi Pulau Pinang di landasan sebagai negeri berkeusahawanan dan berkebajikan

Admin

GEORGE TOWN – Penganjuran Penang Souq Ramadan Bazaar 2019 yang memasuki tahun ke-sembilan bakal diserikan dengan 107 penyertaan daripada pihak hotel dan komuniti peniaga di seluruh Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sejak program tersebut diperkenalkan pada tahun 2011, terdapat peningkatan jumlah penyertaan oleh pihak hotel, kompleks membeli-belah, kedai-kedai perabot dan hiasan rumah serta peniaga-peniaga bazar Ramadan.

“Souq atau bahasa lazimnya bazar merupakan suatu konsep penjenamaan yang dilaksanakan secara serentak dengan menggunakan logo serta tema sama sempena bulan Ramadan di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Penganjurannya mencatatkan pencapaian memberangsangkan saban tahun… peningkatan ini membuktikan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadi sebuah negeri berkeusahawanan dan berkebajikan berada di landasannya yang tersendiri.

“Sebab itulah, pelbagai usaha dilakukan demi meningkatkan sektor ekonomi dan perdagangan tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negeri ini.

“Malah, penganjuran ini berjaya mengumpulkan pelbagai lapisan komuniti peniaga dan pedagang untuk pelbagai jenis produk dengan tawaran harga yang sangat berpatutan,” ujarnya ketika Majlis Pelancaran Penang Souq Ramadan Bazaar 2019 di sini petang tadi.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Dato’ Abdul Halim Hussain (Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan); Sahibus Samahah Dato’ Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang) dan Mohd. Bazid Abd. Kahar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC).

Penganjuran tahun ini bakal melibatkan beberapa kategori seperti Souq Promosi Ramadan, Souq Promosi Berbuka Puasa, Souq Bazaar Ramadan dan Souq Promosi Perabot Aksesori Hiasan Rumah yang akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan dari 6 Mei hingga 4 Jun ini.

Dalam pada itu, Abdul Halim yang turut berucap pada majlis berkaitan memberitahu bahawa Penang Souq Ramadan Bazaar yang dilaksanakan serentak di seluruh Pulau Pinang akan menggunakan logo dan tema yang sama.

“Matlamat program ini adalah untuk mewujudkan satu lagi produk perdagangan bagi Pulau Pinang yang meliputi acara promosi dan jualan.

“Serentak itu, atas keprihatinan Kerajaan Negeri, kira-kira 55 lesen perniagaan telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sempena bulan Ramadan,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS