Peningkatan transaksi cukai pintu secara online bukti penduduk Seberang Perai sokong visi ke arah Bandaraya Rendah Karbon – YDP MPSP

Admin

SEBERANG JAYA – Sebanyak RM87.20 juta hasil cukai taksiran berjaya dikutip oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sepanjang tempoh Promosi Cukai Pintu 2019 mulai 1 Disember 2018 sehingga 28 Februari lalu.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, kutipan tersebut adalah melibatkan sejumlah 167,457 transaksi keseluruhan yang direkodkan MPSP sepanjang tempoh promosi berlangsung.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 99,033 atau 59.14 peratus adalah transaksi pembayaran secara online termasuk bank, agensi atau kiosk yang menunjukkan peningkatan sebanyak 37.85 peratus berbanding tahun lepas, hanya 71,843 transaksi.

“Peningkatan ini menunjukkan bahawa penduduk menyokong usaha-usaha untuk menjadikan Seberang Perai sebagai sebuah Bandaraya Rendah Karbon serta Bandaraya Pintar Menjelang 2022.

“Oleh itu, kita menyerus agar lebih ramai lagi penduduk menggunakan kemudahan-kemudahan disediakan bagi memudahkan urusan pembayaran cukai taksiran selain daripada kaunter MPSP,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Biasa dekat Ibu Pejabat MPSP, pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap; Dr. Amar Pritpal Abdullah, ADUN Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; Ahli-Ahli Majlis dan Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu bahawa sebanyak 75 hadiah cabutan bertuah bagi Promosi Cukai Pintu 2019 akan disampaikan kepada para pemenang hari ini.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 65 hadiah adalah untuk kategori bayaran secara online, agensi, bank atau kiosk manakala 10 hadiah lagi bagi kategori bayaran di kaunter-kaunter MPSP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : EDMUND LEE