Penjaja kecil luar pasar awam di Seberang Perai patuhi arahan tutup premis

SEMUA jenis gerai penjaja yang beroperasi di luar pasar awam di Seberang Perai dilihat akur terhadap arahan penutupan premis oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) seiring dengan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

Tinjauan Buletin Mutiara ke Pasar Awam Chai Leng Park dekat Perai mendapati kesemua jenis penjaja di luar pasar berkenaan telah ditutup sepenuhya.

Penjaja bergerak yang masih menjalankan perniagaan di luar Pasar Awam Chai Leng Park diarahkan tutup serta-merta oleh MBSP.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MBS), Zakaria Hussin ketika ditemui berkata, hanya sebahgian kecil penjaja bergerak di luar pasar awam masih menjalankan perniagaan tetapi telah diarahkan tutup dan mengosongkan tapak seawal jam 7.30 pagi tadi.

“Kebanyakan penjaja di luar pasar awam telah menghentikan perniagaan mereka sejak arahan dikeluarkan pada 18 Mac lalu seiring dengan PKP.

“Oleh itu, fokus kami ketika ini adalah untuk memastikan pengunjung pasar awam mengekalkan jarak sosial (social distance) satu (1) meter.

“Bagi memastikan keberkesanan arahan itu, kami (MBSP) akan memasang pita keselamatan selewat-lewatnya petang ini,” jelasnya lagi.

Pengunjung Pasar Awam Seberang Jaya masih tidak mematuhi arahan langkah jarak sosial sejauh 1 meter.

Dalam pada itu, tinjauan turut dilakukan di Pasar Awam Seberang Jaya dekat Lengkok Tenggiri 2 dan mendapati tidak ada lagi penjaja yang beroperasi di luar pasar awam berkenaan.

Walau bagaimanapun, sebahagian besar pengunjung dan peniaga di pasar berkenaan dilihat masih lagi gagal mengekalkan jarak sosial (social distance) semasa melakukan urusan jual beli.

Selain itu, terdapat juga pengunjung terutamanya golongan warga emas didapati masih mengabaikan langkah-langkah pencegahan jangkitan dengan tidak memakai topeng muka dan sarung tangan.

Dr. Afif Bahardin ditemui ketika meninjau operasi peniaga dan pengunjung di Pasar Awam Seberang Jaya.l

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin semasa ditemui berkata, walaupun keadaan di pasar awam berkenaan kelihatan masih lagi terkawal namun terdapat pengunjung dan peniaga masih gagal mematuhi arahan penjarakan sosial sepertimana yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Justeru, katanya, bagi mengatasi masalah tersebut, beliau dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang mengusahakan untuk mewujudkan carta laluan bagi mengurangkan keberadaan orang awam di dalam pasar berkenaan selain memastikan mereka mengekalkan jarak sosial sejauh satu meter.

Pihak berkuasa tempatan memasang pita keselamatan di pasar-pasar awam sebagai langkah memgurangkan pengunjung memasuki kawasan pasar pada satu-satu masa.

“Saya juga mengeluarkan peruntukan bagi memasang pita keselamatan bersama-sama pegawai penguatkuasan MBSP untuk mengehadkan kemasukan orang awam ke dalam kawasan pasar pada satu-satu masa.

“Selain itu, beberapa akses untuk ke dalam kawasan pasar dihadkan dan hanya dua laluan sahaja akan dibuka kepada pengunjung iaitu satu laluan masuk dan satu lagi untuk keluar.

Kelihatan pengunjung pasar awam masih tidak memaikai topeng muka atau sarung tangan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Kita juga akan menjalankan kempen kesedaran bagi mengekalkan jarak sosial di pasar-pasar awam di sekitar Seberang Jaya dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” ujarnya semasa melakukan tinjauan ke pasar awam berkenaan pagi tadi.

Dalam pada itu, tinjauan di Pasar Pagi Apollo dekat Raja Uda kelihatan sesak dengan kehadiran pengunjung ekoran masih terdapat beberapa penjaja di luar premis masih menjalankan perniagaan tetapi telah diarahkan tutup oleh MBSP mulai esok (23 Mac).

Sebagai rekod, berdasarkan laporan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga kini Malaysia telah mencatatkan 1,183 kes jangkitan Covid-19 dengan sembilan kematian.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & MBSP