Penjaja kecil perlu kreatif pasarkan produk – ADUN

BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz menyarankan para penjaja kecil untuk lebih kreatif memasarkan produk keluaran masing-masing.

 

Katanya, pandemik COVID-19 yang melanda kini telah mencapai satu tahun dan menjejaskan banyak golongan peniaga mahupun golongan yang bekerja.

“Peniaga hari ini perlu tingkatkan kreativiti pemasaran terutamanya penggunaan aplikasi dalam talian mahupun melalui media sosial.

 

“Selain itu, apabila COVID-19 melanda banyak transaksi tanpa tunai dijalankan, jadi saya mahu penjaja kecil juga tidak ketinggalan untuk terlibat sama.

 

“Untuk pertama kali memang kita akan rasa susah, selepas itu kita akan mula biasa dan merasakan ia sebenarnya lebih mudah,” ujarnya sempena  Program Bantuan Bakul Makanan 2021 Kepada Peniaga Kecil bertempat di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bayan Lepas, semalam.

Sebelum itu, pada majlis berkaitan Azrul menyampaikan 100 pek barangan keperluan harian kepada peniaga-peniaga kecil sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas di sini.

Tambahnya, sejak pandemik tersebut melanda permintaan pembelian dalam talian meningkat berkali ganda berbanding kaedah biasa.

“Macam saya sendiri pun sekiranya aksesori kenderaan rosak, pertama sekali mesti akan buka dalam talian dahulu, harga pun lebih murah,” katanya lagi.

Serentak itu, Azrul turut mengajak komuniti Bayan Lepas untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 bagi membantu memutuskan rantaian pandemik tersebut di seluruh negara.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI