Penjaja tanpa kebenaran di Pasar Awam Bukit Mertajam terima permit sementara

Admin

BERAPIT – Seramai 110 penjaja tanpa kebenaran yang beroperasi khususnya di sekitar Jalan Pasar dan Jalan Bunga Raya dekat Pasar Awam Bukit Mertajam di sini menerima permit sementara perniagaan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada usaha MBSP bagi membolehkan peniaga-peniaga tidak sah dan tanpa lesen di sekitar kawasan pasar berkenaan ditawarkan petak niaga dalam kadar segera.

Rozali Mohamud menyantuni salah seorang peniaga dekat Pasar Awam Bukit Mertajam ketika hadir menjalankan pemeriksaan dan menyerahkan permit sementara kepada peniaga.

“MBSP telah mengenal pasti sejumlah 162 penjaja tanpa kebenaran beroperasi di Pasar Awam Bukit Mertajam dan daripada jumlah itu, sebanyak 110 permohonan permit sementara telah diterima sehingga 29 Jun 2021.

“Oleh itu, dengan mengambil kira data berkenaan, MBSP telah melukis 166 petak tambahan untuk menempatkan peniaga-peniaga ini yang mana mereka telahpun memulakan operasi mereka pada 29 Jun lalu.

“Kerja-kerja menyusun semula mengambil masa 20 hari dari tarikh pasar ini dibuka pada 10 Jun lalu kerana kita mahu yakinkan pengunjung bahawa tidak ada lagi kes positif COVID-19 di Pasar Awam Bukit Mertajam.

Operasi dan penstrukturan semula Pasar Awam Bukit Mertajam membolehkan perniagaan dijalankan dengan lebih teratur dan sistematik.

“Justeru, dengan pengoperasian serta penstrukturan semula petak perniagaan sementara Pasar Awam Bukit Mertajam diharap mampu merancakkan kembali aktiviti perniagaan di sini secara sistematik,” katanya pada sidang media sebelum melakukan pemeriksaan tapak dan penyerahan permit sementara perniagaan kepada peniaga berkaitan dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MBSP serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Sebelum ini, Pasar Awam Bukit Mertajam telah diarahkan tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah bermula 31 Mei hingga 9 Jun 2021 berikutan kewujudan kluster Jalan Pasar yang dikesan dalam kalangan peniaga di pasar berkenaan.

Pasar awam berkenaan dibuka semula pada 10 Jun 2021 yang mana pihak MBSP hanya membenarkan penyewa yang sah dan berlesen sahaja menjalankan perniagaan di lokasi tersebut.

NOOR ZIHAD ABDULLAH, 56, antara peniaga yang diberikan permit sementara perniagaan oleh MBSP meluahkan rasa lega dan bersyukur kerana diberi peluang untuk meneruskan perniagaan menjual ayam yang dimulakan sejak 21 tahun lalu.

“Alhamdulillah.. saya dapat berniaga semula, malah tempat dan keluasan tapak yang diberikan kini turut dikekalkan sebagaimana sebelumnya.

“Cuma masalah sekarang adalah hasil jualan agak merosot sejak penularan pandemik COVID-19 yang mana sekarang saya hanya mampu menjual 500 ekor ayam sehari berbanding 1,000 ekor sebelum ini,” ujarnya yang telah beberapa kali memohon mendapatkan lesen daripada MBSP.

Turut meluahkan rasa lega selepas menerima permit sementara ialah CHEW HOCK MENG, 43, yang merupakan penjual sayur-sayuran di dalam Pasar Awam Bukit Mertajam sebelum ini.

“Saya sudah menjalankan perniagaan sayur-sayuran dalam pasar ini sudah 30 tahun tetapi saya mengambil keputusan berpindah keluar kerana ruang di dalam agak sempit.

“Jadi, sejak berpindah keluar saya memohon untuk mendapatkan lesen tetapi gagal tetapi hari ini saya sangat gembira kerana diberikan permit sementara oleh MBSP,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di pekarangan Pasar Awam Bukit Mertajam.

Seorang lagi penjual sayur, B. MUNISWARY, 45, yang turut menerima lesen sementara perniagaan berkata dia kini berasa lega dan boleh meneruskan perniagaan seperti biasa.

“Sudah sebulan saya tidak berniaga sejak pasar awam ini ditutup dan semalam saya sudah boleh memulakan perniagaan seperti biasa,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR