Penjawat awam diminta praktik prinsip integriti & etika perkhidmatan – Farizan

Admin

GEORGE TOWN – Anggota perkhidmatan awam di negeri ini diminta supaya mempraktikkan prinsip integriti dan beretika dalam penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus berkata, perkhidmatan awam adalah tunjang pentadbiran awam sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri dan perlu dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Integriti merupakan asas kepada tadbir urus yang baik, tanpa integriti sebagai asas yang kukuh maka akan runtuhlah sebuah organisasi. Begitu juga dengan perkhidmatan kita sebagai penjawat awam, tanpa integriti binasalah semuanya.

“Prinsip integriti ini perlu diamalkan, dipupuk dan disemadikan dalam setiap jiwa warga perkhidmatan awam…saya hanya boleh membuat kawalan di peringkat bidang kuasa saya shaja, namun tuan-tuan dan puan-puan sendiri yang menentukan ia diamalkan atau tidak,” ucapnya pada Majlis Perhimpunan Anggota Penjawat Awam Bersama-sama Y.A.B Ketua Menteri Pulau Pinang di sini pagi ini.

Jelas Farizan, beliau percaya bahawa terdapat segelintir dalam kalangan penjawat awam yang terlibat dengan ketidakpatuhan tatatertib.

“Antara yang lazim adalah tidak hadir bertugas, lewat, tidak bertanggungjawab terhadap tugasan yang diamanah, tidak menjalankan tugas dengan sewajarnya dan lain-lain salah laku.

“Bagi ketidakpatuhan tatatertib tersebut, Ketua Jabatan perlu segera mengambil tindakan bagi menjamin salah laku tidak merebak kepada penjawat awam lain.

FARIZAN Darus ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkaitan pagi ini.

“Sekiranya Ketua Jabatan tidak bertindak segera, maka ia akan menjadi kanser kepada keseluruhan organisasi dan ia berpunca daripada sikap tidak ambil peduli dan kealpaan Ketua Jabatan.

“Oleh itu, harapan saya kepada Ketua Jabatan, segera ambil tindakan, saya percaya dengan tindakan tersebut anda telah memenuhi tanggungjawab anda sebagai Ketua Jabatan,” tegasnya yang turut meletakkan harapan sama kepada anggota perkhidmatan awam di peringkat persekutuan dan badan berkanun persekutuan di negeri ini.

Mengikut rekod, beliau menyatakan bahawa sehingga April 2019, sebanyak 25 kes tatatertib dilaporkan dan kes-kes ini antaranya membabitkan tidak hadir bertugas dan mengemukakan surat cuti sakit palsu.

Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam

Farizan memaklumkan bahawa Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam (KSPA) bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak tahun 2015 sebagai langkah mengoptimumkan sumber tenaga manusia dalam sektor awam.

Berdasarkan statistik, menurutnya, jumlah keseluruhan penjawatan tetap bagi penjawat awam di Pulau Pinang adalah 9,504 orang, dan Kerajaan Negeri mensasarkan pengurangan lima peratus secara berfasa sehingga tahun 2021.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan KSPA ini tidak melibatkan penjawat awam sedia ada yang sedang berkhidmat, akan tetapi dilaksanakan mengikut beberapa kaedah antaranya pemansuhan jawatan jumud, pemansuhan Jawatan Perubahan Sementara Skim (JSPS) dan jawatan yang tidak diisi melebihi tempoh dua tahun.

“Pada pandangan saya, pelaksanaan KSPA amat bertepatan kerana cost of doing business yang ditanggung oleh kerajaan dari segi penyediaan bajet bagi emolument meningkat dengan amat ketara.

“Mungkin sebagai penjawat awam kita merasa gundah dengan pelaksanaan ini, namun realitinya dengan kemajuan dan kepesatan teknologi kini jelas menjadi suatu alternatif kepada pengsisihan penggunaan tenaga manusia biasa,” katanya yang turut menyeru agar penjawat awam di negeri ini sama-sama meneroka cara baharu dalam melaksanakan tugas dan menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Terdahulu, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Transformasi Perkhidmatan Awam (JKK-TPA) Bilangan 2 Tahun 2018 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 28 Oktober 2018 telah memutuskan supaya usaha KSPA berkaitan dimulakan dengan mengurangkan penjawatan di sektor awam dan dasar tersebut juga dipanjangkan kepada perkhidmatan awam negeri.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN