Penjawat awam, ejen pelaksana barisan hadapan antara rakyat & kerajaan – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Penjawat awam ialah ejen pelaksana yang berada di barisan paling hadapan dalam penyampaian segala dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sebagai ejen pelaksana, Kerajaan Negeri amat berharap agar penjawat awam dapat memainkan peranan dalam proses penyampaian perkhidmatan antara kerajaan serta rakyat.

“Mengambil kira senario dan perkembangan dalam pentadbiran serta perkhidmatan awam kini, komitmen dan kemahiran tinggi dalam kalangan penjawat awam amatlah dituntut.

“Penjawat awam harus bertindak balas dengan lebih pantas daripada kebiasaan kerana rakyat sentiasa mengharapkan anggota perkhidmatan awam yang dinamik serta efektif dalam membuat keputusan berlandaskan ketangkasan kemahiran,” katanya pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

SEBAHAGIAN anggota perkhidmatan awam yang hadir.

Hadir sama, Yang diPertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Norazmi Narawi dan Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud, barisan Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta Pegawai-pegawai Kanan antara yang turut serta dalam perhimpunan yang menjadi platform pertemuan antara pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri dan anggota perkhidmatan awam bagi memperbaharui iltizam ke arah pentadbiran mantap serta jitu.

Mengulas mengenai pencapaian tahun 2019, Kon Yeow menyatakan bahawa salah satunya apabila pentadbiran Kerajaan Negeri menyaksikan kemudi baharu yang mana Dato’ Abdul Razak menggantikan Dato’ Seri Farizan Darus yang bersara wajib, sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Segala asas pentadbiran Dato’ Seri Farizan Darus sebelum ini akan dijadikan panduan dan rujukan bagi mengekalkan kualiti serta produktiviti pentadbiran negeri.

“(Dan) dengan pengalaman yang luas, pentadbiran Kerajaan Negeri percaya Dato’ Abdul Razak mampu mengemudi hal ehwal negeri dengan cara tersendiri serta mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

KETUA Menteri ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

“Oleh itu, besar harapan saya agar seluruh anggota perkhidmatan awam dapat memberi kerjasama agar gandingan baharu ini dapat mewujudkan sinergi yang lebih utuh dalam merealisasikan dasar-dasar Kerajaan Negeri berteraskan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri akan menumpukan kepada kerja-kerja pelaksanaan projek termasuk projek-projek berskala besar serta program-program untuk rakyat mengikut 16 inisiatif strategik dalam Visi Penang2030.

Dalam pada itu, Abdul Razak menzahirkan kekaguman atas pelbagai kejayaan yang dikecapi Pulau Pinang sepanjang tahun 2019 hasil kerjasama dan komitmen anggota perkhidmatan awam.

“Walaupun masih baru, tetapi saya melihat organisasi (pentadbiran) ini sememangnya wajar menjadi pilihan sebagai negeri serta organisasi contoh pihak lain.

ABDUL Razak Jaafar.

“Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita semua adalah tulang belakang kerajaan, tanpa kita semua, maka lumpuhlah kerajaan.

“Oleh demikian, saya menyeru kepada semua anggota perkhidmatan awam di negeri Pulau Pinang untuk sama-sama terus meningkatkan usaha dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada stakeholders dan juga rakyat,” serunya.

Dalam majlis sama, turut disempurnakan adalah peluncuran video berdurasi 3:53 minit serta lagu rasmi Visi Penang2030 ciptaan Datuk Wah Idris, yang boleh disaksikan menerusi laman Facebook Penang2030 (https://www.facebook.com/penang2030/) dan laman Facebook YAB Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (https://www.facebook.com/ChowKonYeow/) mulai hari ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD