PENMentor 2026 sasar 100 penyertaan usahawan wanita, terap penggunaan AI dalam perniagaan

Admin
lis 2936

GEORGE TOWN – Program Penang Women Entrepreneurs Mentoring (PENMentor) 2026 menyasarkan penyertaan seramai 100 usahawan wanita tahun ini.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, program tersebut diwujudkan selari dengan visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara sebagai pemangkin kepada penglibatan usahawan wanita dalam ekonomi negeri.

Menurut beliau, PENMentor bukan sekadar program latihan biasa, sebaliknya menjadi platform pembangunan menyeluruh menerusi latihan intensif, bimbingan mentor, peluang rangkaian serta sokongan berterusan kepada peserta.

“Sejak awal pelaksanaannya, PENMentor telah membantu seramai 428 usahawan wanita dan berjaya menyumbang kepada peningkatan purata pendapatan mereka sehingga 30 peratus.

“Tahun ini, kita menyasarkan 100 penyertaan usahawan wanita lagi dengan harapan dapat melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berjaya dan berdaya saing,” katanya pada sidang media di Komtar dekat sini pagi tadi.

lis 2922lis 2918

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng; Eksekutif Kanan (Transformasi Digital), Digital Penang, K. Balashangaran; Dekan (School of Business), INTI International College Penang, Anni Malar; Ketua Bahagian Kepimpinan dan Pemerkasaan Wanita PWDC, S. Mangleswary; Ketua Kumpulan Mentor Bahasa Melayu, Zurilaili Ishak; Ketua Mentor Kumpulan Bahasa Inggeris, Barati Suresh Chan dan Ketua Mentor Kumpulan Bahasa Mandarin, Tebby Tan Ting Ting.

Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, kejayaan program tersebut bukan hanya diukur melalui angka penyertaan semata-mata, sebaliknya melalui perubahan kehidupan peserta yang berjaya meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.

“Di sebalik angka ini, ada kisah seorang ibu tunggal yang mampu menghantar anak ke universiti.

“Ada juga wanita muda yang berani meninggalkan pekerjaan tetap demi mengejar impian berniaga serta keluarga yang kini lebih stabil kerana pendapatan bertambah.

“Inilah kisah sebenar yang memberi makna kepada usaha kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, cabaran utama usahawan masa kini bukan sahaja melibatkan modal dan produk, tetapi turut berkait rapat dengan kemahiran digital.

Katanya, literasi digital kini menjadi keperluan asas terutama dalam era ekonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat.

Justeru, beliau berkata bahawa PENMentor 2026 akan menekanan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan, sekali gus memperkukuh peranan wanita dalam ekonomi digital serta meningkatkan penguasaan teknologi dalam bidang perniagaan.

“Malaysia kini berada dalam kelompok negara teratas dari segi kesediaan AI, disokong oleh kadar penggunaan tinggi, kepercayaan awam yang kukuh serta pelaburan berterusan dalam ekonomi digital.

“Perkara ini dinyatakan dalam laporan AI Index 2026 Annual Report oleh Stanford University dan turut disahkan oleh syarikat teknologi hartanah global, Juwai IQI Holdings,” jelasnya.

Sehubungan itu, Siew Khim menegaskan bahawa PENMentor memainkan peranan penting dalam melengkapkan usahawan wanita dengan literasi digital serta bimbingan berkaitan AI bagi memastikan mereka terus relevan dan mampu bersaing.

“Kita tidak mahu wanita hanya menjadi pengguna teknologi semata-mata.

“Kita mahu mereka menjadi pencipta, pemilik dan pemimpin dalam ekonomi dan inilah tujuan PENMentor,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru lebih ramai usahawan wanita untuk menyertai PENMentor 2026 bagi memperkukuh ilmu serta mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Program ini bukan sekadar latihan jangka pendek, tetapi bekalan ilmu perniagaan sepanjang hayat yang mampu memperkukuh kedudukan wanita dalam ekonomi negeri.

“Jika anda seorang usahawan wanita baharu atau ingin mengembangkan perniagaan sedia ada, jom sertai PENMentor 2026,” seru beliau.

Sementara itu, Bee Leng berkata, PWDC sentiasa memastikan program PENMentor kekal relevan dengan perubahan dunia perniagaan semasa menerusi penambahbaikan modul program dari semasa ke semasa.

Menurutnya, sesi maklum balas bersama menti, mentor dan lead mentor sentiasa diadakan bagi membincangkan cabaran yang dihadapi serta langkah meningkatkan kualiti program.

“Modul program sentiasa dikemas kini melibatkan aspek pemasaran digital, penjenamaan, strategi perniagaan dan penggunaan teknologi.

“Dalam dunia yang semakin dipacu Al dan ekonomi digital, usahawan wanita tidak lagi boleh bergantung kepada cara lama,” katanya.

Tambah beliau, segala usaha tersebut dilaksanakan bagi memastikan peserta bukan sahaja berjaya menamatkan program dengan baik, malah mencapai perkembangan signifikan dalam perniagaan dan kehidupan mereka secara keseluruhan.

lis 2794
Siti Noraishia Ahmad.

“PENMentor bukan sekadar program latihan biasa, tetapi platform pembangunan kapasiti yang menyediakan wanita dengan ilmu, jaringan sokongan dan bimbingan praktikal agar mereka mampu bersaing pada masa hadapan,” ujarnya.

Program PENMentor 2026 dijadual berlangsung selama tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober 2026 dan merangkumi Kursus Komprehensif Keusahawanan, sesi mentoring bersama mentor industri, pembangunan jaringan strategik serta bimbingan berkumpulan.

Bagi memastikan lebih ramai wanita dapat mengikuti program tersebut dengan selesa dan efektif, tiga kumpulan bahasa dikekalkan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.

Bee Leng berkata, lebih menarik lagi adalah mentor-mentor PENMentor adalah terdiri daripada individu pelbagai industri dan latar belakang profesional yang berpengalaman luas dalam dunia perniagaan.

“Malah, sebahagian daripada mentor yang terlibat merupakan alumni PENMentor sendiri.

lis 2811
Jace Wong.

“Ini menunjukkan bahawa apabila wanita diberi peluang dan sokongan yang betul, mereka bukan sahaja mampu berjaya tetapi juga kembali membantu wanita lain untuk maju bersama.

“Itulah ekosistem yang ingin dibina oleh PWDC iaitu wanita memperkasa wanita,” katanya lagi.

Mengulas syarat penyertaan, beliau memberitahu bahawa program tersebut terbuka kepada wanita Pulau Pinang yang merupakan warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.

Katanya, penyertaan terbuka kepada semua kategori perniagaan sama ada berdaftar atau tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Yuran pendaftaran pula ditetapkan sebanyak RM200 bagi kumpulan pendapatan rendah (B40) dan RM400 bagi kumpulan pendapatan sederhana rendah (M40) dan berpendapatan tinggi (T20).

Pada sidang media yang sama, dua orang menti, Siti Noraishia Ahmad (pengusaha perniagaan katering) dan Jace Wong (pengusaha kedai kopitiam) turut berkongsi kejayaan masing-masing dalam mengembangkan perniagaan selepas menyertai PENMentor sebelum ini.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: ALISSALA THIAN