Penolakan pinjaman perumahan pembeli pertama, KN terus perbincangan dengan BNM

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menggariskan empat langkah yang perlu ditangani Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan syarat-syarat pinjaman perumahan daripada bank-bank  komersial dapat dilonggarkan dan memanfaatkan pembeli rumah pertama.

Exco Perancangan Bandar, & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kerjasama dan perbincangan bersama pihak BNM bagi mengatasi masalah tersebut.

“Apa yang kita (Kerajaan Negeri) cadangkan bagi mengurangkan kadar penolakan perumahan yang tinggi ialah dengan menawarkan kadar pinjaman lebih tinggi sehingga 100 peratus daripada harga jualan perumahan.

“Selain itu, tempoh pembayaran pinjaman perumahan perlu dipanjangkan serta memperkenalkan semula Skim Pemaju Tanggung Faedah (Developer Interest Bearing Scheme, DIBS).

“Malah, pihak BNM perlu memperkenalkan kadar pembayaran semula yang lebih fleksibel, iaitu bermula dengan kadar pembayaran lebih rendah dan meningkat secara berfasa seiring dengan peningkatan pendapatan peminjam,” jelasnya ketika membentangkan perkara tersebut pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung baru-baru ini.

Jelas Jagdeep, masalah kadar penolakan pinjaman perumahan yang tinggi khususnya dalam kalangan pembeli rumah pertama bukan sesuatu perkara baharu.

“Masalah (penolakan pinjaman) ini bukanlah perkara baharu, ia juga adalah punca yang menafikan warga Pulau Pinang daripada mengakses rumah mampu milik disediakan.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan meneruskan perbincangan dengan pihak BNM berhubung isu tersebut agar pinjaman perumahan daripada bank-bank komersial dapat dilonggarkan dan memanfaatkan pembeli (rumah pertama).

“Malah, bagi menangani perkara tersebut pihak Pembangkang Pulau Pinang yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Ayer Tawar telah bersetuju untuk bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengutuskan usul bersama kepada Kerajaan Pusat dan BNM.

“Dalam hal ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk (ADUN Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid) kerana bersetuju bersama-sama Kerajaan Negeri menangani masalah ini,” katanya.