Shabudin dikritik keras, DUN Pulau Pinang terima usul henti perkahwinan kanak-kanak dengan perogol

Admin

GEORGE TOWN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini sebulat suara menerima usul Hentikan Perkahwinan Kanak-Kanak Dengan Perogol, tanpa seorang pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng ketika membentangkan usul tersebut, mengkritik keras kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyebut seseorang kanak-kanak perempuan berumur 12 hingga 15 tahun sudahpun kelihatan seperti 18 tahun dan oleh itu, sudah bersedia untuk berkahwin.

“Marilah kita menentang sekeraskerasnya pemikiran sebegini untuk melindungi kanak-kanak kita daripada keganasan seksual,” katanya yang juga ADUN Padang Lalang.

Memetik data Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikongsi Reuters, Chong Eng memberitahu Dewan bahawa terdapat 12,987 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan kepada polis antara Januari 2012 hingga Julai 2016 di Malaysia.

Tapi, katanya, hanya 2,189 kes rogol difailkan dan 140 kes sahaja disabit kesalahan.

“Ini, bermakna 17 peratus kes difail dan hanya 1 peratus kes disabit kesalahan daripada jumlah kes yang dilaporkan.

“Ini, jelas menunjukkan yang jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia adalah sangat serius dan memang sukar untuk dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin pada sesi perbahasan usul tersebut mencadangkan perogol dihukum rejam sampai mati, sebagaimana wujud dalam doktrin undang-undang yang dikaitkan dengan Islam.

“Dalam Islam, anak mangsa rogol tidak diiktiraf pun sebagai anak kepada perogol.

“Inilah betapa tiada taraf perogol, tapi bagaimana dibenarkan mereka ini berkahwin dengan mangsa rogol,” katanya.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim turut membantah dalih Shabudin yang menyebut, “sekurang-kurangnya dia (kanak-kanak mangsa perogol) ada suami.” ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan ketika berucap turut menganggap para ADUN Pembangkang seakan lari daripada mengambil bahagian dalam membahaskan usul berwajib yang berkaitan Shabudin.

Selepas itu, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang mengumumkan usul Chong Eng itu sebulat suara diterima dewan.