Penswastaan Pelabuhan P. Pinang ditolak sebulat suara – Guan Eng

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Semua pihak berwajib yang menyertai perbincangan meja bulat dengan Kerajaan Negeri baru-baru ini sebulat suara menentang penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang yang dihasratkan oleh kerajaan pusat, kata Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Penjelasan itu sekaligus menolak dakwaan pembangkang Pulau Pinang kononnya lima resolusi yang diluluskan dalam perbincangan tertutup pada 9 Julai lepas digariskan oleh Guan Eng terlebih dahulu, bukan muafakat daripada mereka yang berwajib.

“Sekiranya dia (Agensi Persatuan Perkapalan Malaysia Utara atau NMSAA) nak mengubah fikirannya selepas mesyuarat ini, itu tidak mengapa. Tetapi, kita (Kerajaan Negeri) telah bertanya semua pihak berwajib (yang hadir mesyuarat) dan semuanya sebulat suara mengatakan tidak bersetuju dengan penswastaan (Pelabuhan Pulau Pinang) ini,” ujar Guan Eng di Komtar, di sini.

Guan Eng berkata, Ong Chiang Kheng mungkin menerima tekanan daripada pihak tertentu sehingga mendesak Naib Presiden NMSAA itu untuk berubah fikiran serta tidak lagi menyokong aspirasi menentang penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang selepas mesyuarat tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir dalam perbincangan bersama-sama lebih 40 perwakilan berwajib di sini.

Mereka mewakili Dewan Perniagaan Melayu, India dan Cina, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Freepenca, penyelia logistik, syarikat berkaitan import-eksport, syarikatsyarikat perkapalan dan sebagainya.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow mendakwa bahawa Kerajaan Negeri mewujudkan suatu gambaran yang palsu kononnya semua pihak berwajib telahpun menentang cadangan kerajaan pusat untuk menswastakan pelabuhan berkenaan.

Dakwaan itu kononnya dipetik daripada kenyataan Chiang Kheng sendiri yang menyebut bahawa NMSAA tidak memihak pada resolusi yang diluluskan dalam sidang meja bulat bersama-sama Guan Eng.

Lima resolusi yang dipersetujui secara sebulat suara oleh semua pihak berwajib berkenaan adalah:

1. Menolak usaha penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada pihak luar – termasuk kepada Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd. yang dipunyai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al- Bukhary – tanpa terlebih dahulu berunding dengan rakyat Pulau Pinang.

2. Menggesa peruntukan modal segera berjumlah RM353 juta untuk tujuan mendalamkan perairan Pulau Pinang demi kemasukan kapal-kapal besar.

3. Menolak penurunan taraf Pelabuhan Pulau Pinang ke pelabuhan pengantara selepas langkah penswastaan selain menggesa pelabuhan itu dikekalkan sebagai hub perdagangan serantau.

4. Menggesa rombakan perkhidmatan feri Pulau Pinang supaya menjadi ikon pelancongan di negeri berkenaan.

5. Kembalikan Pelabuhan Pulau Pinang kepada rakyat Pulau Pinang dan diuruskan oleh rakyat Pulau Pinang.

ANTARA pihak yang hadir pada perbincangan meja bulat penswastaan Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
ANTARA pihak yang hadir pada perbincangan meja bulat penswastaan Pulau Pinang
di sini baru-baru ini.